'Memugar Reformasi, Membina MADANI' tema Kongres Nasional KEADILAN 2026
- Azuan Ab Rahman

- Aug 6
- 2 min read

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan menganjurkan Kongres Nasional KEADILAN 2026 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh pada 15 dan 16 Ogos ini.
Kongres bertemakan ‘Memugar Reformasi, Membina MADANI’ itu dijangka menghimpunkan kira-kira 2,500 perwakilan dan sekurang-kurangnya 3,000 pemerhati parti dari seluruh negara.
Pengarah Kongres, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, acara dijangka turut dihadiri pimpinan parti politik serta duta asing, termasuk dari Amerika Syarikat, China, Jepun dan Australia.
"Tema ‘Memugar Reformasi, Membina MADANI’ membawa makna besar kerana ia bukan sekadar mengimbau roh perjuangan reformasi yang menjadi asas penubuhan parti, tetapi memperkukuh dan memperbaharuinya agar terus relevan dalam mendepani cabaran semasa," katanya dalam kenyataan.
Saifuddin yang juga Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN berkata, Persidangan Angkatan Muda KEADILAN dan Wanita KEADILAN akan berlangsung sehari lebih awal. Ucapan dasar dan perasmian akan disempurnakan oleh Presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu jelasnya, perbahasan kongres akan memberi tumpuan kepada isu rakyat termasuk ekonomi, pendidikan dan politik, dengan 16 pembahas daripada sayap parti serta negeri-negeri mengambil bahagian membahaskan ucapan dasar Presiden.
Selain itu kongres yang diadakan juga sebagai medan memperkukuh tekad anggota KEADILAN untuk terus menjadi benteng perjuangan reformasi, mempertahankan integriti dan menegakkan keadilan sosial.
"Kita mahu terus menyantuni golongan yang lemah dan tidak berupaya serta memperkukuh perpaduan dan semangat kebersamaan antara kaum.
"Seperti tahun-tahun yang sebelumnya, Kongres juga akan menyampaikan Anugerah Bill Kayong kepada lima buah keluarga yang mana ahli keluarga mereka diiktiraf kerana memberi khidmat jasa bakti bersama parti sehingga hembusan nafas yang terakhir," katanya.
Beliau berharap kongres berkenaan dapat mencipta momentum baharu kesepaduan dalam kalangan pimpinan dan anggota parti, selain memperkukuh ikhtiar bersama untuk membina Malaysia yang lebih bermaruah, makmur dan adil untuk semua.
"Sekretariat Kongres Nasional Keadilan 2026 mengalu-alukan kehadiran para pimpinan pusat dan negeri, perwakilan serta pemerhati," tambahnya.




Comments