Memelihara Kemuliaan Institusi Guru Elak Fenomena Buli
- Suara Keadilan

- Aug 3
- 2 min read
Updated: Aug 4

Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
ULASAN: Masyarakat digemparkan oleh beberapa insiden yang menunjukkan kemuliaan institusi guru dalam kalangan pelajar semakin terhakis sejak kebelakangan ini.
Wujud beberapa laporan bahawa pelajar bukan sahaja berani menengking guru secara terbuka, malah sudah ada bukti secara rakaman pelajar sanggup untuk menumbuk guru hanya kerana ditegur ponteng kelas pendidikan jasmani. Perkara ini sangat jelas terjadi selepas dunia dilanda oleh Pandemik Covid-19, kesan akibat pandemik tersebut turut di bawa ke dalam dunia pendidikan.
PdP punca guru tidak dihormati?
Sistem pendidikan di Malaysia terpaksa diubah kepada proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara atas talian melalui platform-platform tertentu sepanjang tempoh menghadapi serangan Pandemik Covid-19.

Perubahan ini telah membawa kepada perubahan sikap murid terhadap guru terutama penghakisan perasaan hormat. Kajian yang dilaksanakan terkait isu ini oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mendapati bahawa murid-murid sepanjang berhadapan dengan Pandemik Covid-19 telah terbiasa dengan PdP yang tidak dipantau secara berterusan oleh guru disebabkan proses pembelajaran ketika itu dilakukan secara dalam talian.
Kini para pelajar itu mula masuk ke alam persekolahan dengan PdP yang berbeza, pelajar berasa tidak selesa apabila sering diperhatikan oleh guru-guru sepanjang berada di dalam kawasan sekolah. Namun keadaan itu tetap tidak boleh dijadikan alasan untuk pelajar bersikap biadab terhadap institusi guru.
Kajian sama yang dilakukan oleh UPSI membuktikan bahawa isu pelajar tidak menghormati guru merupakan tanda-tanda awal untuk berlakunya masalah yang lebih besar dan buruk seperti membuli murid lain dan memeras ugut murid malah guru dan orang lain.
Masalah buli berleluasa
Justeru tidak hairanlah pada hari ini masalah buli antara pelajar semakin berleluasa, masalah buli ini dilaporkan membawa kepada kes bunuh diri pelajar yang menghadapi tekanan mental. Pelajar semakin berani untuk bersikap biadab terhadap guru pada hari ini kerana hukuman denda dan rotan tidak lagi boleh dilaksanakan secara bebas oleh guru-guru di sekolah.
Hanya guru tertentu dengan syarat yang sangat ketat dibenarkan untuk melaksanakan hukuman tersebut terhadap murid-murid yang didapati bersalah. Jika guru-guru tersalah langkah dalam menjalankan hukuman tersebut maka guru terbabit boleh disabit kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, kesalahan tersebut membawa kepada hukuman penjara maksimum setahun dan denda sehingga RM 2,000.
Guru berhadapan cemuhan
Situasi semasa pada hari ini semakin menyukarkan guru-guru untuk mendisplinkan para pelajar di sekolah. Akibatnya, guru-guru terpaksa berhadapan dengan penghinaan dicemuh malah dicederakan oleh murid-murid yang memberontak apabila cuba didisplinkan.
Situasai pada hari ini memerlukan kajian semula terhadap pengurusan sistem disiplin pelajar di sekolah. Pendekatan yang cuba diterapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan meletakkan keutamaan terhadap bimbingan dan kaunseling untuk membentuk disiplin murid mungkin tidak memadai.
Falsafah pendidikan Melayu-Islam
Masyarakat Malaysia adalah sangat berbeza di mana sistem pendidikan di Malaysia sangat kuat terikat dengan falsafah pendidikan Melayu-Islam. Sistem pendidikan Melayu-Islam secara tradisional sangat mementingkan isu adab dalam menuntut ilmu, pembentukan adab itu dibentuk dengan disiplin yang tinggi sehingga mewujudkan kemuliaan seorang guru dalam kalangan pelajarnya.
Setelah adab terbentuk dalam diri murid maka proses pembelajaran seterusnya menjadi mudah dan teratur. Mungkin pembentukan adab dengan disiplin yang tinggi adalah jawapan untuk menyelesaikan isu kebiadaban pelajar terhadap guru pada hari ini.
Kemuliaan yang tinggi terhadap seorang guru akan menyelesaikan isu kebiadaban pelajar dan sekaligus menyelesaikan masalah buli di sekolah pada masa hadapan.
Penulis merupakan Pensyarah Kanan Universiti Poly-Tech Malaysia









Comments