Melepas Belenggu Politik Perkauman
- Suara Keadilan

- 52 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Fakharuddin Moslim
ULASAN: Selepas hampir 70 tahun Malaysia merdeka, politik perkauman masih menjadi antara senjata paling mudah digunakan pada setiap kali pilihanraya.
Melayu ditakutkan dengan Cina, Cina ditakutkan dengan Melayu manakala masyarakat India pula sering dijadikan sebahagian daripada percaturan politik mengikut kepentingan tertentu.
Politik perkauman terus digunakan bukan kerana ahli politik tidak tahu hal itu berbahaya tetapi kerana ia masih berkesan untuk mendapatkan sokongan.
Rakyat resah isu ekonomi
Sedangkan keresahan sebenar rakyat jauh lebih besar daripada soal kaum. Tinjauan Merdeka Center pada Mei 2025 mendapati 73 peratus rakyat Malaysia menyenaraikan ekonomi sebagai isu utama yang mereka beri perhatian.
Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan median gaji bulanan pekerja formal meningkat 3.8 peratus kepada RM3,027 pada Mac 2026, berbanding RM2,917 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Memang benar peningkatan gaji rakyat yang direkodkan pada waktu ini masih belum memadai. Hal ini kerana di sebalik angka itu ialah rakyat yang masih perlu berdepan kos makanan, perumahan, pengangkutan, pendidikan dan keperluan harian.
Kesemua usaha pembaikan terhadap isu ini bukan mudah ditangani dalam sekelip mata. Hal itu kerana ia merupakan masalah sistemik yang memerlukan penyelesaian menyeluruh dan bersifat jangka panjang.
Momokan isu kaum
Dalam hal ini, bagi politikus yang tidak berfikiran jauh mereka tentunya akan lebih selesa mengalih perbincangan kepada isu kaum.

Daripada bertanya mengapa anak muda sukar mendapatkan pekerjaan baik, kita diajak bertanya siapa menguasai ekonomi. Daripada membincangkan kos sara hidup, kita diajak mencari kaum yang kononnya menjadi punca.
Daripada menilai prestasi kerajaan, kita disuruh menentukan siapa lebih Melayu, lebih Cina atau lebih layak bercakap bagi pihak kaum India. Akhirnya, masalah rakyat yang sepatutnya menjadi persoalan dasar ditukar menjadi persoalan identiti.
Sedangkan seorang anak Melayu yang mencari pekerjaan mempunyai keresahan sama seperti anak Cina dan India. Keluarga yang tertekan dengan kos sara hidup tidak akan diringankan bebannya membayar bil hanya kerana mereka diberitahu kaum lain adalah ancaman.
Masalah perlu penyelesaian dasar
Masalah sebenar tetap sama. Dan masalah itu memerlukan penyelesaian dasar, bukan ketakutan. Sudah tentu setiap kaum mempunyai kepentingan, sejarah dan kebimbangan tersendiri. Itu wajar dihormati. Mempertahankan kepentingan komuniti sendiri bukan satu kesalahan.
Tetapi kita perlu membezakan antara politik memperjuangkan kepentingan kaum dengan politik mempergunakan kaum untuk mendapatkan kuasa.
Yang pertama cuba menyelesaikan masalah. Yang kedua memerlukan musuh untuk terus hidup. Sebab itu politik perkauman akan terus berulang selagi ia memberikan pulangan politik.
Ubah cara pilih pemimpin
Rakyat juga perlu mengubah nilai ukuran terhadap pemimpin. Jangan nilai seseorang berdasarkan sejauh mana dia berjaya menakutkan kita terhadap kaum lain.
Tanya apa telah dilakukan untuk meningkatkan pendapatan, mencipta pekerjaan, menyediakan rumah mampu milik dan mengurangkan beban kehidupan rakyat. Kerana tugas pemimpin bukan mencipta musuh kepada rakyat. Tugas pemimpin ialah menyelesaikan masalah rakyat.
Selepas hampir tujuh dekad merdeka, kita sepatutnya sudah mampu bergerak daripada politik yang meminta rakyat memilih berdasarkan ketakutan kepada politik yang meminta rakyat menilai berdasarkan prestasi.
Harga barang, pengangguran dan kos pemilikan rumah tidak mengenal bangsa. Masa depan anak-anak kita juga tidak mengenal bangsa. Jangan biarkan masalah rakyat terus ditukar menjadi masalah kaum.
Penulis merupakan Ketua Penerangan KEADILAN Johor




Comments