MCMC pantau kempen PRN Johor, kekang kandungan memudaratkan
- Suara Keadilan

- Jun 28
- 1 min read

Pemantauan berterusan terhadap kandungan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan dilaksanakan sehingga hari pengundian pada 11 Julai ini bagi menyekat penularan berita palsu serta isu sensitif 3R yang mampu menggugat keharmonian kaum.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil (gambar) berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bakal menerajui usaha ini dengan kerjasama strategik daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi-agensi berkaitan.
"Kandungan yang menyentuh isu 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja akan diberikan perhatian.
"Kita tidak mahu apa-apa kandungan yang tidak sihat, memudaratkan, bersifat berita palsu atau maklumat palsu disebarkan," katanya dipetik laporan media tempatan.
Fahmi ditemui selepas mengiringi calon Pakatan Harapan, Mohd Khuzzan Abu Bakar ke penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, Batu Pahat pada Sabtu.
Pada PRN ini, Mohd Khuzzan akan berhadapan calon Barisan Nasional (BN) Mohd Fared Khalid, Perikatan Nasional (PN) Othman Kepol.
Sementara itu, Fahmi turut menyeru orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang bertanggungjawab dengan melaporkan sebarang kandungan mencurigakan kepada pihak berkuasa.
Orang ramai jelasnya boleh membuat aduan kepada MCMC melalui portal aduan rasmi bagi membolehkan siasatan dan tindakan sewajarnya diambil terhadap kandungan bersifat palsu atau menyentuh isu 3R.
"Sekiranya anda melihat kandungan yang bersifat palsu ataupun menyentuh isu 3R, laporkan terlebih dahulu kepada platform berkenaan kerana mereka mempunyai tanggungjawab untuk mengambil tindakan," tambahnya.




Comments