'MCA dapat sokongan Melayu, jangan bangkit isu larang arak'
- Akmal Manaf

- 20 hours ago
- 2 min read

Sokongan masyarakat Melayu kepada mana-mana parti politik tidak boleh dianggap sebagai ‘cek kosong’ untuk parti berkenaan mempertikaikan dasar yang bertujuan menjaga ketenteraman dan keselesaan di kawasan awam seperti larangan meminum minum keras di khalayak, kata Raihan Md Idris.
Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Negeri Sembilan itu berkata demikian ketika mengulas pertikaian yang dibangkitkan pemimpin muda MCA berhubung peraturan dibuat Kerajaan Pakatan Harapan melarang minum arak di pantai awam dan taman rekreasi di negeri itu.
Katanya, larangan pengambilan minuman keras secara terbuka di kawasan tersebut bukan bermaksud mengganggu kehidupan peribadi masyarakat bukan Islam.
"Sebaliknya ia berkaitan keselesaan pengunjung, keselamatan, kebersihan dan ketenteraman ruang awam.
"MCA berhak memberikan pandangan, tetapi janganlah menjadikan setiap peraturan di tempat awam sebagai isu kaum atau agama. Kepentingan majoriti pengguna kawasan awam juga mesti dihormati.
"Kita menghormati hak dan cara hidup semua kaum, tetapi pantai awam, taman rekreasi dan padang permainan ialah ruang bersama yang turut digunakan oleh keluarga serta kanak-kanak," katanya ketika dihubungi.
Pada Julai tahun lalu, Kerajaan Negeri Sembilan pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menguatkuasakan larangan minum minuman keras di tempat awam termasuk kawasan pantai awam Port Dickson yang popular sebagai tempat pelancongan di negeri itu.
Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri berkata, larangan itu bertujuan menghormati sensitiviti masyarakat dan mana-mana individu yang melakukan kesalahan tersebut, berdepan kompaun serta-merta dengan denda hingga RM2,000.
Terdahulu, tular rakaman perbincangan secara langsung melibatkan Timbalan Setiausaha Agung Wanita MCA Pusat, Ivone Low yang juga Ketua Beliawanis MCA minggu lalu bersama rakan-rakan partinya yang mempersoalkan larangan berkenaan sama ada langkah itu akan menjejaskan kehadiran pelancong asing di pantai Port Dickson.




Comments