top of page

MB Sanusi perlu hormat keputusan mahkamah, jangan kait judi dengan PM

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 1 hour ago
  • 3 min read

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kedah, Mohammad Fitri Ismail (gambar), menegaskan pendirian pihaknya yang tidak menyokong aktiviti perjudian, namun pada masa sama menggesa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menghormati bidang kuasa undang-undang dan keputusan mahkamah.


Mohammad Fitri berkata pendirian menolak judi tidak seharusnya dicampuradukkan dengan isu bidang kuasa eksekutif serta keputusan mahkamah sebagaimana ceramah Sanusi baru baru ini yang mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), Menteri Kewangan dalam hal lesen judi dan kuasa Persekutuan.


"Pertama sekali, saya pun tak suka judi. Kami tak sokong aktiviti yang boleh rosakkan masyarakat, terutama anak-anak muda.


"Jadi jangan dok pusing cerita macam bila kami kritik kenyataan Sanusi, kami ni sokong judi. Tak. Kami pun tak mau judi," katanya dalam hantaran di media sosial.


Beliau berkata pihaknya juga tidak bersetuju dengan tindakan mengambil hasil daripada aktiviti perjudian, namun isu berkenaan perlu dilihat secara berasingan daripada persoalan kuasa undang-undang.


Mengulas tindakan Kerajaan Negeri Kedah membawa perkara berkenaan ke mahkamah, Mohammad Fitri berkata keputusan mahkamah perlu dihormati biarpun tidak memihak kepada Kerajaan Negeri.


"Kerajaan Negeri Kedah sendiri yang bawa perkara ni ke mahkamah. Bila keputusan mahkamah tak menyebelahi Kerajaan Negeri, jangan pulak nama Perdana Menteri yang dipersalahkan.


"Kalau keputusan dah dibuat oleh mahkamah, kita kena hormat. Kalau kamu nak perjuangkan pendirian Kerajaan Negeri, perjuangkanlah ikut saluran yang ada. Tak payah dok letak semua benda atas PMX," katanya.


Dalam pada itu, beliau turut menegur penggunaan bahasa kasar ketika mengkritik Perdana Menteri, termasuk perkataan “celaka” dan “pelaq”.


"Saya nak tegur bab bahasa. Tak salah nak marah. Tak salah nak kritik Perdana Menteri. Kita pun dalam politik ni memang takkan setuju semua benda.


"Tapi bila sampai guna perkataan macam ‘celaka’ dan ‘pelaq’, saya rasa itu dah tak kena dengan kedudukan seorang Menteri Besar," katanya.


Menurutnya, perbezaan pendapat dalam politik tidak seharusnya menyebabkan batas kesopanan diketepikan, lebih-lebih lagi apabila kenyataan dibuat oleh seorang pemimpin negeri.


"Kita boleh keras dalam politik, tapi bahasa tu biarlah ada batas. Menteri Besar bukan bercakap atas nama diri sendiri saja. Apa yang keluar dari mulut seorang Menteri Besar, rakyat tengok dan nilai," katanya.


Mohammad Fitri berkata sebarang kritikan terhadap Perdana Menteri atau Kerajaan Persekutuan seharusnya disampaikan berdasarkan hujah, sebab dan fakta, bukannya melalui makian.


Beliau berkata budaya masyarakat Kedah yang terkenal dengan sikap berterus terang tidak bermaksud adab dalam pertuturan perlu diketepikan.


"Kita orang Kedah ni memang jenis cakap terus terang. Tak salah pun. Tapi terus terang tak bermaksud kita kena buang adab.


"Dan saya rasa rakyat Kedah pun boleh terima teguran yang keras kalau disampaikan dengan bahasa yang baik," katanya.


Mohammad Fitri menegaskan pendirian AMK Kedah dalam isu perjudian kekal jelas, namun isu berkenaan tidak wajar diputarbelitkan sehingga seolah-olah semua keputusan berada di tangan Perdana Menteri.


"Dalam isu judi, pendirian kami jelas. Kami tak suka judi dan kami tak sokong judi. Tapi pada masa yang sama, kami tak setuju isu ni diputar sampai seolah-olah semua keputusan bergantung kepada Perdana Menteri.


"Hormatilah keputusan mahkamah. Jaga bahasa. Jaga maruah jawatan. Kita boleh berbeza politik tanpa hilang adab," katanya.


Sebelum ini dalam ceramahnya, Sanusi berkata, Perdana Menteri akan dimaki oleh rakyat Kedah jika dia membenarkan aktiviti perjudian dibenarkan di negeri itu.


Sanusi berkata Kerajaan Negeri sudah melakukan apa yang terdaya untuk menghalang aktiviti berkenaan apabila melaksanakan larangan menyeluruh terhadap premis perjudian dan loteri.


Bagaimanapun, larangan yang dikuatkuasakan pada 2023 itu dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan melalui keputusan pada 12 Ogos.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page