top of page

MATC Puchong tidak kecoh jika tiada gangguan - Zaihasri Jaafar

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • Apr 21
  • 2 min read

KEADILAN Cabang Puchong menegaskan tidak akan sama sekali tunduk atau mengiktiraf budaya ugutan, provokasi dan politik bising yang tidak membawa nilai kepada perjuangan parti susulan kekecohan yang tercetus ketika Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) itu kelmarin.


Ketuanya, Zaihasri Jaafar (gambar) menyifatkan kejadian itu merupakan satu tindakan yang jelas melanggar disiplin organisasi dan mencemarkan proses demokrasi parti.


Dakwanya, gangguan berpunca daripada tindakan seorang anggota, Paarithi Vaanan mengambil mikrofon dan menjerit kepada perwakilan agar memberi ruang kepada beliau untuk berucap atas alasan memegang jawatan dalam Cabang dan bekas ahli majlis.


"Beliau pada mulanya enggan menyerahkan mikrofon dan mendakwa beliau berhak bersuara. Namun, beliau lupa ini soal adab dan decorum dalam sebuah organisasi politik yang berstruktur.


"Keadaan menjadi lebih serius apabila beberapa individu yang memihak kepada beliau bertindak mendekati pembentang usul pertama dan melontarkan ancaman dalam bahasa Tamil, satu perbuatan yang tidak boleh diterima dalam mana-mana ruang demokrasi yang sihat," katanya dalam satu kenyataan.


Zaihasri berkata, akibat tindakan tersebut, mesyuarat yang sepatutnya membahaskan sekurang-kurangnya tujuh usul penting demi memperkukuh parti di peringkat Cabang dan nasional terpaksa ditamatkan lebih awal.


Beliau mendakwa, kejadian tersebut bukan sekadar gangguan, tetapi adalah usaha untuk menggagalkan perjalanan mesyuarat.


"Lebih mengecewakan, individu itu hanya hadir di dua daripada lapan mesyuarat Cabang sebelum ini.


"Beliau juga tidak terlibat dalam persiapan MATC namun tampil pada saat penting dan menimbulkan ketegangan.


"Sikap sebegini memperlihatkan kecenderungan berpolitik tanpa komitmen, dan lebih mementingkan pentas daripada kerja organisasi yang sebenar," katanya.


Zaihasri berkata, pihaknya akan terus komited mempertahankan integriti proses parti dan memastikan setiap ruang demokrasi dipelihara daripada unsur-unsur yang merosakkan dari dalam.


"KEADILAN dibina atas asas disiplin, keberanian moral dan penghormatan terhadap proses, bukan sorakan kosong atau tindakan melulu," ujarnya lagi.


Terdahulu, media melaporkan mesyuarat yang berlangsung kelmarin kecoh sehingga mencetuskan tuntutan daripada pimpinan akar umbi agar mesyuarat semula diadakan segera.


Kekecohan tersebut, yang kini rakamannya tular di media sosial, dipercayai berpunca daripada pertelingkahan mengenai pemilihan wakil Cabang ke Kongres Nasional KEADILAN yang dijadualkan berlangsung di Melaka, Jun ini.


Susulan insiden itu, Ahli Jawatankuasa (AJK) Cabang Puchong, Parithi Vaanan Ramasamy, mengemukakan permohonan rasmi kepada Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Dr Fuziah Salleh untuk membatalkan keputusan mesyuarat tersebut.


Dalam surat yang dilihat oleh media, Parithi mendakwa mesyuarat pada 19 April itu berlangsung dalam keadaan tidak teratur dan mencabuli prinsip demokrasi parti.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page