MAPIM gesa PBB aktifkan mekanisme henti pencerobohan AS-Israel
- Redzuan Shamsudin

- Mar 1
- 2 min read

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan bersama oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran, yang disifatkan sebagai satu eskalasi berbahaya dan ancaman serius terhadap keamanan serantau serta kestabilan global.
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) berkata, operasi ketenteraan berskala besar yang dilancarkan itu amat dikesali dan boleh mencetuskan konflik mega di rantau Timur Tengah.
"Serangan ini menandakan peningkatan ketegangan yang serius dan telah mencetuskan tindak balas ketenteraan balas. Situasi ini meningkatkan kebimbangan terhadap kemungkinan tercetusnya konflik serantau yang lebih luas," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan bahawa pencerobohan ketenteraan terhadap sebuah negara berdaulat tanpa kebenaran jelas undang-undang antarabangsa merupakan pelanggaran serius terhadap piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya larangan penggunaan kekerasan kecuali untuk mempertahankan diri atau dengan kelulusan Majlis Keselamatan.
"Justifikasi berasaskan dakwaan ancaman nuklear (oleh AS dan Israel) tidak boleh digunakan untuk menghalalkan tindakan ketenteraan unilateral. Pertikaian antarabangsa berkaitan program nuklear mesti diselesaikan melalui rundingan diplomatik dan mekanisme pemantauan antarabangsa, bukan melalui peperangan yang berisiko membawa bencana kemanusiaan yang besar," tegasnya.
Menurut MAPIM, kesan eskalasi konflik kini melangkaui Iran memandangkan rantau Asia Barat merupakan pusat laluan tenaga global dan kepentingan geopolitik utama dunia. Konflik melibatkan Iran berpotensi mengganggu laluan perdagangan maritim, menjejaskan kestabilan negara jiran serta mencetuskan kejutan ekonomi global.
"Penutupan ruang udara di beberapa negara serta langkah kecemasan di rantau tersebut sudah menunjukkan tahap keseriusan krisis ini," katanya.
MAPIM menegaskan bahawa PBB tidak boleh berdiam diri dan mesti segera mengadakan sidang tergempar Majlis Keselamatan PBB; mengaktifkan mekanisme diplomasi dan pencegahan konflik di bawah Piagam PBB; menuntut penghentian segera semua tindakan ketenteraan oleh semua pihak; dan menggerakkan usaha pengantaraan antarabangsa bagi mengelakkan eskalasi lanjut
"Kegagalan bertindak tegas berisiko melemahkan kredibiliti sistem antarabangsa serta menormalkan pencerobohan ketenteraan unilateral sebagai instrumen dasar luar," ujar beliau.
Mohd Azmi yang juga Presiden Malaysia Global Coalition in Support of Baitul Maqdis and Palestine menegaskan bahawa kestabilan global tidak boleh dicapai melalui dominasi ketenteraan atau geopolitik paksaan, sebaliknya hanya melalui diplomasi, penghormatan terhadap kedaulatan negara dan pematuhan kepada undang-undang antarabangsa.
"Dunia telah menyaksikan kesan dahsyat konflik berpanjangan di Asia Barat. Satu lagi peperangan besar hanya akan memperdalam penderitaan kemanusiaan, menggugat ekonomi global dan membahayakan jutaan nyawa manusia.
"Peperangan tidak boleh menggantikan diplomasi. Pencerobohan tidak boleh menggantikan undang undang antarabangsa," katanya.




Comments