Momentum sokongan PH meningkat di Jeram Padang - Manivanan


Memasuki hari ketujuh tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16, Pakatan Harapan (PH) menyatakan momentum sokongan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang meningkat dan semakin positif, hasil siri program turun padang yang diadakan setiap hari.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, G Manivanan yakin momentum sokongan itu terus meningkat apabila pasukan kempennya memperhebatkan usaha mendekati pengundi di seluruh kawasan berkenaan.
Beliau berkata, walaupun kempen kini lebih menyerlah dengan pemasangan bendera dan papan iklan, pendekatan bersemuka bersama pengundi telah dilaksanakan sejak sebelum hari penamaan calon lagi.
"Perjumpaan dengan pengundi telah bermula lama sebelum hari penamaan calon.
"Sekarang ia diteruskan secara lebih strategik dengan program ziarah kasih, walkabout dan pelbagai aktiviti di setiap lokaliti," katanya kepada Suara Keadilan.
Menurut Manivanan, jadual kempennya diisi dari pagi hingga malam dengan sasaran sekurang-kurangnya 10 program setiap hari di kawasan seperti Palong 1 dan Palong 2, Taman Jaya, Taman Kasih Putera, Taman Desa Puteri dan Taman Bahau.
Katanya, setiap program mengambil masa antara satu hingga dua jam bagi memberi peluang kepada beliau bertemu seramai mungkin pengundi.
"Dalam tempoh tujuh hari ini, kempen memang cukup agresif.
"Setiap hari kami menetapkan KPI sekurang-kurangnya 10 program kerana komitmen kami adalah untuk bertemu pengundi sebanyak mungkin," katanya.
Beliau berkata, sambutan yang diterima ketika turun padang memberi keyakinan bahawa sokongan terhadap PH semakin bertambah dari hari ke hari.
"Setiap kali saya bertemu pengundi, saya memperkenalkan diri serta menerangkan peranan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Saya melihat sokongan kepada Pakatan Harapan semakin meningkat," katanya.
Mengulas pertandingan empat penjuru di DUN Jeram Padang, Manivanan berpandangan saingan utama tetap melibatkan PH dan Barisan Nasional (BN).
"Walaupun ada empat calon yang bertanding, saya melihat persaingan sebenar adalah antara gelombang merah Pakatan Harapan dengan gelombang biru Barisan Nasional," ujarnya lagi.




Comments