top of page

Mangsa kebakaran Kg Numbak: Exco Wanita KEADILAN sampaikan sumbangan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 7 hours ago
  • 2 min read
Junaidah menyerahkan sumbangan kepada mangsa kebakaran Kampung Numbak Baru
Junaidah menyerahkan sumbangan kepada mangsa kebakaran Kampung Numbak Baru

Exco Wanita KEADILAN Malaysia, Junaidah Makku @ Junn, kelmarin turun menyantuni mangsa kebakaran di Kampung Numbak Baru, Sepanggar, Sabah, khususnya golongan wanita, warga emas dan kanak-kanak yang terjejas akibat musibah berkenaan.


Junaidah berkata, kehadiran beliau yang mewakili Ketua Wanita KEADILAN Malaysia, Datuk Seri Fadhlina Sidek, sebagai tanda keprihatinan dan solidariti kepimpinan Wanita KEADILAN terhadap keluarga yang sedang berdepan saat sukar.


Dalam kunjungan tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan daripada Ketua Wanita KEADILAN Sabah, Datin Rufinah Pengeran, selain sumbangan daripada Ketua Cabang KEADILAN Sipitang, Wendey Agong Baruh.


Turut menitipkan sumbangan ialah Nurfashia Masri, Ketua Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah Sipitang, sebagai tanda solidariti kemanusiaan merentasi perbezaan politik demi membantu masyarakat yang ditimpa musibah.

Mangsa kebakaran berkumpul
Mangsa kebakaran berkumpul

Menurut Junaidah yang juga Exco Wanita KEADILAN Malaysia, usaha tersebut turut mendapat sokongan masyarakat dari daerah Sipitang yang menghubunginya secara peribadi dan mengamanahkan sumbangan seadanya untuk digunakan bagi membeli barangan keperluan mangsa kebakaran.


Antara barangan yang disampaikan ialah beras, peralatan kebersihan serta kelengkapan persekolahan, khususnya bagi membantu keluarga dan kanak-kanak yang terjejas.


"Walaupun sumbangan ini tidaklah besar, ia merupakan tanda kasih, keprihatinan dan kebersamaan kita dengan saudara-saudara yang sedang diuji.


"Saya amat menghargai setiap individu dan masyarakat dari Sipitang yang menghubungi saya serta menitipkan sumbangan untuk dibawa kepada mangsa. Amanah ini saya sampaikan dengan harapan ia dapat meringankan sedikit beban dan memenuhi keperluan harian mereka," katanya yang juga Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Sabah.


Junaidah berkata, musibah seperti ini mengingatkan semua pihak bahawa semangat kemanusiaan dan saling membantu perlu sentiasa diutamakan, khususnya ketika masyarakat berhadapan kehilangan tempat tinggal dan keperluan asas.


"Dalam keadaan seperti ini, kita tidak melihat latar belakang atau perbezaan. Yang kita lihat ialah keluarga yang memerlukan pertolongan, wanita yang perlu dikuatkan, warga emas yang perlu disantuni dan anak-anak yang perlu diberikan perhatian.


"Semoga semua mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan untuk melalui ujian ini. Saya juga berharap bantuan daripada pelbagai pihak akan terus disalurkan bagi membantu mereka membina kembali kehidupan selepas musibah ini," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page