Malaysia perlu bangun teknologi bencana sendiri – Lih Kang


Kerajaan MADANI sentiasa menyesuaikan penggunaan teknologi terkini mengikut keperluan semasa dalam usaha meningkatkan keupayaan mengurus bencana.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Chang Lih Kang (gambar) berkata, teknologi memainkan peranan penting dalam membantu pasukan penyelamat mengendalikan operasi bencana termasuk mengenal pasti mangsa dan memastikan keselamatan anggota SAR.
Justeru Malaysia juga tidak boleh ketinggalan dan perlu membangunkan teknologi sendiri untuk berdepan situasi bencana.
"Sebagai contoh, dalam tragedi tanah runtuh Batang Kali pada 2022 dahulu, kita menggunakan banyak teknologi untuk membantu mencari mayat dan mengenal pasti DNA mangsa.
"Kita juga menggunakan teknologi angkasa untuk mengesan sekiranya berlaku tanah runtuh susulan bagi memastikan pasukan penyelamat berada dalam keadaan selamat," kata Naib Presiden KEADILAN itu dipetik laporan media.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi Ke-9 Dunia di Georgetown pada Selasa.
Mengulas mengenai Belanjawan akan datang, Chang berkata, kementeriannya memohon peruntukan untuk pembangunan serta penggunaan teknologi yang mampu membantu meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Antara penekanan diberikan adalah teknologi yang boleh diperluaskan penggunaannya ke kawasan pedalaman termasuk kawasan luar grid (off-grid).
"Kita cuba bawa teknologi itu untuk kesejahteraan rakyat. Itu fokus kita, berbanding menghantar orang ke angkasa," jelasnya.




Comments