Malaysia perketat kawalan sempadan hadapi ancaman Ebola Bundibugyo
- Helmi Mohd Foad

- 6 hours ago
- 2 min read

Kementerian Kesihatan (KKM) memperkukuh tahap kesiapsiagaan negara susulan penularan Penyakit Ebola Virus Bundibugyo yang diisytiharkan sebagai Kecemasan Kesihatan Awam Menjadi Kepentingan Antarabangsa (PHEIC) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 17 Mei lalu.
Pengisytiharan itu dibuat susulan peningkatan kes Ebola di negara Afrika Congo dan Uganda yang mencetuskan kebimbangan komuniti kesihatan global.
Sehingga 16 Mei lalu , WHO melaporkan lapan kes disahkan makmal, 246 kes disyaki dan 80 kematian disyaki di Wilayah Ituri, DRC. Uganda pula merekodkan dua kes disahkan termasuk satu kematian melibatkan individu yang mempunyai sejarah perjalanan dari DRC.
"Sehingga kini tiada kes Ebola dilaporkan di Malaysia.
"Namun, kerajaan mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan risiko importasi kes melalui perjalanan antarabangsa masih wujud," kata KKM dalam kenyataan hari ini.
Bagi memperkukuh kesiapsiagaan negara, KKM telah mempertingkatkan pelbagai langkah kawalan termasuk memperkukuh survelan dan pemantauan di semua Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) melibatkan lapangan terbang serta pelabuhan utama negara.
"Pengesanan awal kes turut dipertingkat menerusi sistem survelan penyakit berjangkit sedia ada termasuk pemantauan individu bergejala yang mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan terjejas," ujarnya.
KKM turut memperkukuh kesiapsiagaan fasiliti kesihatan bagi tujuan pengesanan, pengasingan dan pengurusan kes disyaki termasuk memastikan pematuhan ketat langkah Infection Prevention and Control (IPC).
Kementerian juga memastikan bekalan alat perlindungan diri (PPE) dan latihan petugas kesihatan berada pada tahap optimum bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Dalam aspek diagnostik, kapasiti makmal bagi pengesanan viral haemorrhagic fever diperkasa melalui kerjasama dengan Institute for Medical Research dan National Public Health Laboratory, katanya.
Pada masa sama, koordinasi dan pemantauan risiko global terus diperkukuh bersama WHO, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia, syarikat penerbangan dan agensi berkaitan.
KKM memaklumkan pemantauan turut melibatkan pengembara dari Uganda dan DRC termasuk mereka yang transit di hab antarabangsa seperti Dubai, Doha dan Singapura.
Ketika ini, tiada penerbangan terus dari kedua-dua negara Afrika tersebut ke Malaysia.
Ebola merupakan penyakit berjangkit serius yang boleh membawa maut dan merebak melalui kontak rapat dengan darah atau cecair badan individu atau haiwan yang dijangkiti.
Antara gejala utama termasuk demam, sakit kepala, sakit otot, keletihan, muntah, cirit-birit dan dalam kes tertentu boleh menyebabkan pendarahan.
KKM turut menasihatkan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara terlibat supaya segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala seperti demam, sakit badan, muntah atau pendarahan dalam tempoh 21 hari selepas pulang.
Orang ramai juga diminta mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi KKM dan WHO serta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan kegusaran awam.
"KKM akan terus menjalankan pemantauan risiko dan penilaian situasi semasa secara berterusan bagi memastikan kesiapsiagaan negara sentiasa berada pada tahap optimum," menurut kementerian.




Comments