top of page

Malaysia hanya tanggung kos RM16 juta anjur semula F1 - PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 5 minutes ago
  • 2 min read
DS Anwar berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Dewan Garison Gemas, Kem Syed Sirajuddin
DS Anwar berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Dewan Garison Gemas, Kem Syed Sirajuddin

Malaysia hanya perlu menanggung kos sekitar RM16 juta bagi membolehkan perlumbaan Formula 1 (F1) kembali dianjurkan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dalam tempoh dua bulan lagi selepas pihak Formula 1 bersetuju menggugurkan bayaran yuran penganjuran yang sebelum ini mencecah ratusan juta ringgit.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dimaklumkan kepadanya menerusi panggilan telefon daripada Putera Mahkota Bahrain yang juga Perdana Menteri negara itu selepas mendapat persetujuan muktamad Raja Bahrain.


Menurut beliau, Bahrain terpaksa melepaskan hak penganjuran susulan ketidaktentuan keselamatan akibat konflik di Asia Barat, sekali gus membuka ruang kepada Malaysia untuk dipilih sebagai tuan rumah.


"Sepatutnya perlumbaan itu diadakan di Bahrain tetapi akibat kesan peperangan dan serangan Amerika ke atas Iran serta tindak balas Iran yang menjejaskan negara-negara jiran, keadaan tidak lagi aman," katanya dipetik ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Dewan Garison Gemas, Kem Syed Sirajuddin, Gemas hari ini.


Anwar berkata Malaysia dipilih daripada puluhan negara yang dipertimbangkan kerana memenuhi tiga syarat utama iaitu sebuah negara yang aman, mempunyai sistem pentadbiran yang cekap serta infrastruktur bertaraf antarabangsa.


Katanya hubungan baik antara Raja Bahrain dan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim turut membantu melancarkan proses rundingan antara kedua-dua negara.


Perdana Menteri berkata, beliau pada mulanya berhati-hati apabila menerima cadangan supaya Malaysia mengambil alih penganjuran F1 kerana kerajaan perlu mengutamakan perbelanjaan bagi membantu rakyat menghadapi kos sara hidup serta menyediakan lebih banyak perumahan.


Menurut beliau, cadangan itu dikemukakan sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menitahkan kerajaan berbincang dengan Bahrain bagi melihat kemungkinan kos penganjuran dapat dikurangkan memandangkan tempoh persediaan yang singkat.


"Hasil rundingan itu, pihak Formula 1 bersetuju menggugurkan bayaran penganjuran yang sebelum ini mencecah ratusan juta ringgit. Kita tidak perlu lagi membayarnya.


"Kalau ada sedikit perbelanjaan pun, ia hanya melibatkan kerja membaik pulih dan menaik taraf Litar Antarabangsa Sepang bagi memenuhi spesifikasi perlumbaan Formula 1 dengan anggaran sekitar RM11 juta hingga RM16 juta," katanya.


Beliau berkata berbanding negara lain yang perlu membelanjakan ratusan juta ringgit malah ada yang mencecah lebih RM1 bilion untuk menganjurkan F1, Malaysia hanya perlu mengeluarkan kos minimum bagi kerja-kerja penambahbaikan litar.


Katanya penganjuran semula perlumbaan itu bakal menjadikan Malaysia tumpuan dunia apabila semua pelumba Formula 1, pasukan perlumbaan, kenderaan paling canggih serta ribuan jurutera antarabangsa akan berkumpul di Sepang.

Anwar berkata keyakinan Bahrain dan pihak Formula 1 terhadap Malaysia turut didorong oleh kejayaan negara mengendalikan pelbagai acara antarabangsa termasuk penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN tahun lalu yang disifatkan antara yang terbaik pernah diadakan.


Menurut beliau kejayaan itu bukan hasil usaha kerajaan semata-mata, sebaliknya lahir daripada kerjasama seluruh rakyat, pasukan keselamatan, penjawat awam dan sektor swasta yang memastikan setiap acara antarabangsa berlangsung dengan lancar.


Sehubungan itu, katanya, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan memainkan peranan penting bagi menjamin aspek keselamatan serta kelancaran penganjuran Formula 1.


Anwar berkata beliau telah memberi jaminan kepada Perdana Menteri Bahrain serta wakil tertinggi Formula 1 bahawa Malaysia mempunyai keupayaan untuk mengendalikan perlumbaan berprestij itu mengikut piawaian antarabangsa.


"Bukan kredit kepada PMX semata-mata. Kredit itu kepada sistem negara, rakyat, keamanan, tentera, polis, pengurusan, penjawat awam, sektor swasta, pengurusan hotel dan restoran. Bila ada cabaran, saya lihat rakyat bangkit untuk menjadi teladan dan mengangkat nama Malaysia. Semangat itulah yang memberikan keyakinan dunia kepada negara kita," katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page