Malaysia catat sokongan tertinggi larang bawah 16 tahun miliki media sosial
- Helmi Mohd Foad

- Apr 21
- 2 min read

Malaysia muncul sebagai negara yang mempunyai sokongan tertinggi di dunia terhadap cadangan larangan penggunaan media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun, demikian menurut dapatan awal kajian global terbaharu melibatkan 15 negara.
Kajian dijalankan oleh Family First, inisiatif Yayasan Varkey yang berpangkalan di London mendapati sebanyak 77 peratus ibu bapa di Malaysia menyokong larangan tersebut, mengatasi India (75 peratus) dan Perancis (74 peratus).
Dapatan kajian itu juga menunjukkan Malaysia mencatat kadar sokongan tertinggi dalam kalangan golongan muda, apabila 62 peratus responden bawah 18 tahun dan 65 peratus Gen Z turut menyokong langkah berkenaan.
Pengasas Family First dan Yayasan Varkey, Sunny Varkey berkata kajian itu mencerminkan keresahan yang semakin dirasai keluarga di seluruh dunia dalam era digital.
"Ibu bapa di seluruh dunia semakin bimbang terhadap kesan media sosial ke atas anak-anak mereka.
"Tujuan kami bukan sekadar membincangkan soal larangan, tetapi membuka perbincangan lebih luas mengenai bagaimana teknologi membentuk hubungan keluarga dan nilai generasi muda," katanya dalam laporan kajian itu yang diterbitkan baru-baru ini.
Kajian tersebut melibatkan lebih 18,000 responden terdiri daripada ibu bapa, kanak-kanak berusia 9 hingga 18 tahun, datuk nenek serta Gen Z dari Malaysia, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, India, Jepun, Kenya, Nigeria, Sweden, UAE, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Argentina.
Laporan penuh termasuk Indeks Ikatan Keluarga Dunia dijangka diterbitkan pada Jun depan.
Secara keseluruhan, kajian tersebut menunjukkan 60 peratus ibu bapa di seluruh dunia menyokong larangan media sosial bagi bawah 16 tahun, mencerminkan kebimbangan semakin meningkat terhadap kesan platform digital terhadap perkembangan mental dan sosial anak-anak.
Namun pandangan generasi muda dilihat lebih berpecah apabila hanya 37 peratus responden bawah 18 tahun di peringkat global menyokong larangan itu manakala 36 peratus menentang dan selebihnya belum membuat keputusan.
Dapatan tersebut turut menunjukkan wujud jurang pandangan ketara antara ibu bapa dan anak-anak mengenai isu berkenaan, dengan purata perbezaan global sebanyak 23 mata peratusan.
Peningkatan sokongan di Malaysia dilihat selari dengan kebimbangan masyarakat terhadap isu buli siber, ketagihan skrin, gangguan kesihatan mental serta pendedahan kandungan tidak sesuai dalam kalangan remaja.
Sebelum ini laporan media tempatan menyebut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata
kerajaan akan melaksanakan sekatan akses akaun media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun dijangka hujung Jun ini.
Beliau berkata langkah bagi memperkukuh perlindungan dalam talian itu bagaimanapun, masih tertakluk kepada penelitian akhir.
"MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) sedang melakukan regulatory sandbox (medan uji) dengan platform media sosial untuk mengenal pasti mekanisme yang pada waktu ini dilaksanakan oleh penyedia platform," ujarnya.




Comments