Malaysia bangkit amalan dwistandard undang-undang antarabangsa
- Suara Keadilan

- 17 hours ago
- 1 min read

Malaysia membangkitkan kebimbangan mengenai apa yang disifatkan sebagai amalan dwistandard yang semakin meningkat dalam penguatkuasaan undang-undang antarabangsa.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar) menerusi ucapan pada sidang pleno keenam Dialog Shangri-La IISS ke-23 di Singapura pada Ahad berkata, pelanggaran undang-undang antarabangsa sering menerima reaksi tidak konsisten dan bersifat terpilih bergantung kepada pihak yang terlibat.
"Institusi seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ditubuhkan bagi mempertahankan kestabilan, multilateralisme dan undang-undang antarabangsa semakin lemah dalam berdepan persaingan geopolitik.
"Apabila negara membangun melanggar perjanjian, mereka berdepan kecaman dan tekanan, namun apabila negara berkuasa atau sekutunya melakukan perkara yang sama, respons antarabangsa menjadi begitu hambar," katanya dipetik.
Mohamed Khaled sebelumnya menyampaikan ucapan bertajuk "Mengurus Ketegangan Serantau Dalam Persaingan Global".
Merujuk perkembangan di seluruh dunia, beliau berkata dwistandard yang sama turut dapat dilihat di peringkat global apabila genosid, jenayah perang dan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berterusan sering menerima reaksi terpilih bergantung kepada pihak yang terlibat.
Sementara itu beliau turut menyatakan kekesalan terhadap keputusan Norway membatalkan eksport sistem peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) yang diperuntukkan untuk Malaysia.
"Ia menimbulkan persoalan yang amat membimbangkan sama ada perjanjian antarabangsa dan perkongsian strategik masih boleh dipercayai atau tidak," katanya.




Comments