
Malaysia bakal melancar pelan ekonomi baharu pada tahun ini yang akan menumpukan industri Tenaga Boleh Baharu (TBB) bagi menjadikan negara sebagai peneraju sektor peralihan tenaga.
Menurut Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli perubahan dasar itu amat penting kerana sebelum ini Malaysia terlalu menumpukan kepada pembangunan pasaran domestik secara organik berasaskan sektor industri.
"Beberapa perubahan dasar akan dilaksanakan pada bulan-bulan akan datang untuk jadikan Malaysia sebagai pasaran pertukaran TBB serantau.
"Malaysia secara geografi dan strategik mempunyai banyak potensi terhadap TBB kerana ia bersambung dengan tanah besar Asia di utara serta mendapat permintaan dari Singapura," kata Rafizi.
Ahli Parlimen Pandan itu memberitahu, antara langkah utama yang akan dilakukan negara ialah membina kapasiti TBB dalam negara terlebih dahulu seterusnya memimpin ke arah pertukaran tenaga serantau.

"Dalam tempoh 20 tahun, Malaysia akan meningkatkan kapasiti TBB sebanyak 11 kali dan melabur sebanyak AS$150 bilion dalam infrastruktur.
"Tumpuan yang diberi kepada peralihan tenaga akan beri petanda yang baik kepada rantau ini serta pelabur, seterusnya meningkatkan skala peralihan negara daripada skala pembuatan nilai sederhana kepada peneraju sektor tenaga bernilai tinggi," katanya.
Manakala dalam temubual di Forum Ekonomi Qatar yang dibawakan oleh Bloomberg, beliau berkata negara akan melancarkan satu pelan induk perindustrian baharu pada Ogos
"Kami sedang melakukannya secara berperingkat sebagai persediaan menuju pembentangan belanjawan pada November.
"Akan ada lebih banyak kejelasan pada asas bulan ke bulan kerana (apa) yang ingin kami elakkan ialah 'big bang' dengan senarai perkara yang kami ingin lakukan dan enam bulan seterusnya mengecewakan semua orang dengan pergerakan pelaksanaannya.
"Jadi, dengan mengimbangi antara perkara yang kami ingin lakukan dan cara kami melakukannya, saya fikir, ia kunci kepada kemampanan," katanya dipetik.
Tambah Rafizi, dalam bidang pendidikan yang disesuaikan dengan industri masa hadapan Malaysia perlu berubah daripada dasar ekonomi masa lalunya yang didorong oleh bekalan bahan mentah. Membina universiti dan kolej teknikal, kami membina kurikulum kebangsaan, dan semua itu katanya telah berfungsi selama kira-kira 30 tahun.
"Tetapi kadar teknologi telah meningkat dan kami beralih ke arah permintaan dengan memberi kebebasan dan insentif, serta bekerjasama dengan industri.
"Ini supaya industri diberi peluang melatih dengan cepat, mengambil pendekatan latihan sambil bekerja, beralih daripada pensijilan kebangsaan, dan lebih kepada mengambil orang ramai dan melatih mereka dalam industri," katanya lagi.