top of page

Malam Gemilang 11 Mei: Landskap Politik Baharu Malaysia Terbentuk

Updated: May 13



Oleh: Redzuan Shamsudin


ULASAN: Malam 11 Mei 2024 merupakan detik gemilang yang tidak mungkin terlupakan oleh para pendukung Kerajaan Perpaduan.


Malam itu menyaksikan tiga peristiwa besar yang boleh merobah sejarah politik Malaysia untuk bertahun tahun akan datang.


Di Sentul Depot, Kuala Lumpur Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) meraikan penubuhan 25 tahun parti tersebut. Jubli Perak yang penuh suka duka perjuangan.


Parti yang berasal dari jalanan, meriah dengan teriakan Reformasi, berbilang kaum yang tidak sesuai dengan fahaman politik umum rakyat Malaysia sejak merdeka 1957, akhirnya menjadi peneraju Kerajaan Persekutuan.


Sejarah amat bermakna bagi Parti KEADILAN apabila pemimpin politik yang diundang menyaksikan gahnya 25 tahun ulang tahun parti itu merupakan Presiden MCA, pemimpin tinggi GPS, yang 25 tahun sebelum itu, ketika Reformasi mula menggegar jalan jalan utama di ibu negara merupakan saingan politik paling ampuh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Dalam dua dekad nilai asas telah berubah dan ahli politik Malaysia mula menerima bahawa politik baharu berasaskan kematangan dan memperjuangkan kebajikan rakyat.


Ahli politik bukan lagi pada era Tun Mahathir Mohamad yang mengongkong minda rakyat, sebaliknya pemimpin kerajaan berkhidmat untuk memajukan negara dan memastikan rakyat mendapat yang terbaik.


Landskap politik baharu terbina dengan mengutamakan politik nilai yang kian diterima oleh hampir kesemua parti pemerintah kecuali pembangkang.


Detik gemilang bagi UMNO


Malam 11 Mei juga merupakan detik gemilang bagi UMNO yang menyambut ulang tahun ke 78 penubuhannya.



UMNO yang mendominasi politik Malaysia sejak sebelum merdeka kini menjadi pari komponen Kerajaan Perpaduan.


Berbeza dengan UMNO yang dahulu tidak digemari oleh sebahagian rakyat kerana dasar pro kapitalisme, parti itu kini telah membina pemahaman baharu dalam politiknya, iaitu cenderung mendengar keluh kesah rakyat dan mula diterima oleh majoriti termasuk yang pernah teraniaya sewaktu arus kebangkitan Reformasi 1998 akibat dasar keras parti itu.


UMNO yang tidak lagi sinonim dengan korupsi atau nepotisme akan memberi harapan segar kepada rakyat Malaysia untuk mendapat pembelaan lebih bermakna dan memperjuangkan kepentingan golongan majoriti mahupun minioriti.


Kemenangan DAP dalam PRK


Namun makna paling besar pada malam 11 Mei ialah kemenangan calon DAP, Pang Sock Tao dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu.


Sejak sebelum proses penamaan calon, PRK ini dibayangi isu perkauman yang sengaja dicetuskan oleh laskar siber dan pemimpin Perikatan Nasional.



Semboyan perang bermula apabila Ahli Parlimen Pas melontar pendapat kononnya kemenangan calon PN di KKB akan menyebabkan berlakunya pertukaran kerajaan.


Seterusnya kempen di KKB amat berat bagi pencinta keharmonian kaum apabila PN menggunakan strategi politik kaum dan agama dalam menarik undi.


Perkauman yang tidak 'tajam' di Selangor sengaja diasah. Pempengaruh dalam kalangan masyarakat India sengaja menabur fitnah bahawa Kerajaan Madani menganaktirikan kaum itu. Padahal amat banyak bantuan dari MITRA sehingga TEKUN atau Amanah Ikhtiar yang tidak mengutamakan usahawan India sebelum ini pun telah memberi pinjaman kepada kaum itu.


Tidak cukup dengan itu Pas mengeluarkan fatwa sebagaimana kebiasaan pilihanraya untuk seboleh bolehnya mewajibkan sokongan ke atas mereka.


Kesan kempen ke atas Melayu di kawasan Bandar Utama Batang Kali misalnya amat buruk dan perayu undi PH sukar menembusi kawasan itu pada minggu pertama.


Tidak cukup itu Presiden Pas, Hj Hadi Awang dalam kempen di KKB berkata nasib orang Melayu Malaysia akan sama seperti di Singapura yang tergadai tanahnya kepada Cina akibat ditadbir PAP. Beliau sekali lagi membawa dakwaan karut bahawa DAP mempunyai idealogi seperti PAP yang bakal merugikan Melayu.


Bagaimanapun, keputusan PRK pada malam 11 Mei telah menidakkan semua strategi pecah belah PN.


Pang Sock Tao dipilih oleh pengundi Melayu, Cina dan India KKB untuk mewakili mereka sehingga tamat penggal.


Politik perkauman ditolak di KKB


Landskap baharu dalam Kerajaan Perpaduan pula terbina apabila buat pertama kalinya parti parti komponen tidak lagi peduli siapa calon yang mereka bantu.



UMNO melalui tokoh veteran Tan Sri Muhamad Mohd Taib (bekas Menteri Besar Selangor) dan Datuk Zainal Abidin Sakom (bekas ADUN Batang Kali) bertungkus lumus meyakinkan pengundi Melayu di Batang Kali bahawa calon DAP, seorang Cina adalah yang terbaik buat mereka.


KEADILAN yang berkempen di 6 kawasan kubu Pas pula meyakinkan Melayu bahawa Sock Tao calon yang lebih baik berbanding pencabarnya. MIC turun dengan ayat yang sama. Begitu juga AMANAH yang memujuk pengundi Melayu.


Formula KKB telah menjadikan Kerajaan Perpaduan tidak lagi berasaskan kaum tetapi matlamat bersama, dan bukan lagi pakatan longgar tetapi telah menjadi satu entiti politik tunggal yang tidak mengenal sempadan bangsa atau keanggotaan.


Sesungguhnya landskap baharu politik telah terbentuk dalam Kerajaan Perpaduan pasca PRK KKB. Malaysia pula sedang menyaksikan satu arus baharu penyatuan bangsa bangsa. Untuk sedekad ke hadapan, ia akan bergerak ke arah penyatuan nasional ke seluruh negara.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page