Mahu PRU segera, mandat baharu: Selesai dulu isu Tabung Haji - AMANAH
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Pilihan Raya Umum (PRU) ke16 tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengelakkan atau menutup persoalan yang timbul daripada laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH), kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar.
Beliau berkata mana-mana pihak yang mahu mendapatkan mandat baharu daripada rakyat perlu terlebih dahulu berani berdepan persoalan yang timbul daripada laporan RCI berkenaan, khususnya perkara membabitkan amanah serta kepentingan jutaan pendeposit TH.
"Saya bersetuju bahawa rakyat akhirnya perlu diberikan peluang menentukan mandat politik melalui pilihanraya. Tetapi ada satu perkara yang tidak boleh kita biarkan berlaku, PRU16 jangan dijadikan tirai untuk menutup persoalan RCI Tabung Haji," katanya dalam satu kenyataan.
Mahfuz berkata isu berkenaan bukan bertujuan menyerang mana-mana parti politik, sebaliknya menyentuh soal maruah politik dan amanah kepada pendeposit.
"Ini bukan soal menyerang Umno. Ini soal maruah politik dan amanah kepada pendeposit. Lebih penting, Tabung Haji bukan milik mana-mana parti politik. Ia menyentuh wang, simpanan dan masa depan jutaan pendeposit," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara dan mahkamah, mengikut bidang kuasa masing-masing mempercepatkan sebarang siasatan, keputusan pendakwaan dan prosiding berkaitan RCI berkenaan.
Mantan Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, kerajaan sebelum ini telah memaklumkan bahawa terdapat siasatan dan tindakan undang-undang yang sedang berjalan susulan laporan RCI berkenaan.
"Jangan dilengahkan. Jangan dilindungi. Jangan dipolitikkan. Jika ada kesalahan, dakwa. Jika tidak cukup bukti, jelaskan. Itulah keadilan," katanya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa mana-mana pihak yang mahu mendapatkan mandat baharu daripada pengundi perlu bimbang sekiranya pengundi mengetahui perkara sebenar berkaitan mandat dan pengurusan terdahulu.
Ujar Mahfuz, pendeposit TH merupakan pengundi yang berhak mengetahui siapa yang menjaga amanah mereka dan siapa yang perlu bertanggungjawab sekiranya amanah berkenaan dipersoalkan.
"Pendeposit Tabung Haji juga pengundi. Mereka bukan sekadar mahu mendengar slogan politik menjelang PRU16. Mereka mahu tahu siapa yang menjaga amanah mereka dan siapa yang perlu bertanggungjawab apabila amanah itu dipersoalkan," katanya.
Menurut beliau, pilihanraya, mahkamah dan RCI mempunyai fungsi yang berbeza dan tidak seharusnya dicampuradukkan.
"PRU menentukan siapa memerintah. Mahkamah menentukan siapa bersalah. RCI menjelaskan apa yang berlaku. Dan rakyat menentukan siapa yang mereka percaya," katanya.
Beliau menegaskan kemenangan politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengetepikan hak pendeposit TH.
"Sebab itu, jangan gunakan PRU untuk memintas akauntabiliti. Kalau benar mahu mandat baharu, hadap dahulu persoalan lama dengan kepala tegak. Mandat baharu tidak memadam mandat dan amanah lama. Pilihan raya tidak menghapuskan kesalahan.
"Dan kemenangan politik bukan tiket untuk melupakan hak pendeposit," katanya.
Beliau berkata keutamaan ketika ini ialah memastikan persoalan berkaitan TH diselesaikan berdasarkan fakta, undang-undang dan prinsip akauntabiliti.




Comments