top of page

M'sia-Pakistan perkukuh kerjasama keselamatan, kepolisan, sempadan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 2 min read
DS Saifuddin (kiri) melakukan kunjungan hormat atas Presiden Republik Islam Pakistan, Asif Ali Zardari
DS Saifuddin (kiri) melakukan kunjungan hormat atas Presiden Republik Islam Pakistan, Asif Ali Zardari

Malaysia dan Pakistan berpotensi memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan, keterjaminan makanan serta hubungan udara selain memperkukuh kerjasama keselamatan, kepolisan dan pengurusan sempadan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.


Beliau berkata perkara itu antara hasil utama lawatan kerja rasmi beliau ke Pakistan yang turut menyaksikan perbincangan bersama rakan sejawat berhubung usaha memperkukuh kerjasama kedua-dua negara.


Saifuddin berkata beliau memaklumkan hasil lawatan tersebut kepada Presiden Republik Islam Pakistan, Asif Ali Zardari, ketika mengadakan kunjungan hormat di Aiwan-e-Sadr, Islamabad.


"Saya mengambil kesempatan untuk memaklumkan kepada H.E Presiden mengenai hasil lawatan rasmi ini, khususnya perbincangan bersama rakan sejawat saya berhubung usaha memperkukuh kerjasama Malaysia dan Pakistan dalam bidang keselamatan, kepolisan, pengurusan sempadan, pencegahan jenayah rentas sempadan serta pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang akan menjadi asas kepada kerjasama yang lebih tersusun pada masa hadapan," katanya dalam hantaran di Facebook.


Menurut beliau, perbincangan turut menyentuh potensi kerjasama yang lebih luas dalam beberapa bidang strategik yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua negara.


"Kami turut menyentuh secara ringkas potensi kerjasama yang lebih luas melibatkan perdagangan, keterjaminan makanan dan hubungan udara antara kedua-dua negara," katanya.


Saifuddin berkata potensi kerjasama berkenaan akan dibawa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk pertimbangan Kerajaan Malaysia.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Asif Ali Zardari atas sambutan mesra dan penghormatan yang diberikan kepada beliau serta delegasi Malaysia sepanjang lawatan berkenaan.


"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada H.E Presiden Asif Ali Zardari atas sambutan mesra serta penghormatan yang diberikan kepada saya dan delegasi Malaysia," katanya.


Saifuddin yang juga pemangku Timbalan Presiden KEADILAN berharap hubungan erat yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Pakistan terus diperkukuh menerusi kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara dan rakyat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page