Gangguan seksual yang didakwa berlaku ke atas mantan atlet renang negara Cindy Ong baru-baru ini menggemparkan masyarakat.
Namun selepas beberapa hari, isu tersebut tenggelam tanpa diulas dengan jaminan oleh Kementerian Pembangunan Wanita dan Kemajuan Masyarakat (KPWKM), Datuk Rina Harun untuk segera meluluskan Rang Undang-undang Gangguan Seksual yang tergantung sejak jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan pada Februari 2020.
Menurut Setiausaha Biro Sukan dan Kesihatan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Yaashan Raj Annavi, Rina sepatutnya mengambil tanggungjawab penuh menyegerakan kelulusan Akta Gangguan Seksual berikutan banyaknya kes-kes lama dan baharu yang membelenggu wanita di negara ini.
"Walaupun sudah lama berlaku tetapi ia baru timbul selepas 20 tahun, apabila Cindy Ong atlet renang negara menceritakan beliau telah ditimpa pelbagai jenis gangguan seksual oleh jurulatih yang tidak bersikap profesional semasa beliau menjalani latihan di zaman remaja sebagaimana disiarkan Malaysiakini.
"Saya percaya ramai lagi atlet di luar sana merahsiakan kisah hitam ini kerana risau akan keselamatan diri dan mungkin karier sukan mereka mudah terjejas.
"Pihak pengurusan sesebuah pasukan sukan juga harus sedia memberi sokongan dan perhatian kepada atlet jika mereka tampil ke hadapan membuat laporan gangguan seksual terhadap “sexual predator”.
"Namun perkara paling penting, RUU Akta Gangguan Seksual harus dilaksanakan dengan segara. Ini kerana RUU Akta Gangguan Seksual akan memberikan perlindungan kepada kebanyakan mangsa sama ada wanita, lelaki mahu pun kanak-kanak," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Yaashan lagi, sebelum ini, pembentangan RUU Akta Gangguan Seksual telah dijadikan agenda utama oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah, bekas Menteri KPWKM dalam kerajaan Pakatan Harapan, kerana tanpa kewujudan akta berkenaan maka mangsa kejadian tidak mempunyai saluran yang tepat untuk membuat aduan dan mengambil tindakan.
"Oleh itu, saya menyeru agar Datuk Seri Rina Harun bertanggungjawab dan memandang serius atas kelewatan isu ini serta memberi penerangan terbuka di media sosial tentang progress RUU Gangguan Seksual dari Jabatan Peguam Negara dengan secepat mungkin," katanya lagi.
Dalam keadaan darurat, RUU Akta Gangguan Seksual tersebut masih boleh diluluskan secara dekri melalui Ordinan Darurat tanpa melalui Parlimen.
Namun hal itu memerlukan kesungguhan Rina sebagai menteri KPWPM mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melakukannya.
Comments