top of page

Lebih RM3.6 juta perkukuh operasi Klinik Kesihatan Senawang, Lenggeng

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • Jun 26
  • 1 min read
DS Dr Dzulkefly dalam lawatan ke klinik kesihatan dalam usaha meningkatan fasiliti. Foto: FB Dr Dzulkefly
DS Dr Dzulkefly dalam lawatan ke klinik kesihatan dalam usaha meningkatan fasiliti. Foto: FB Dr Dzulkefly

Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan peruntukan segera RM805,700 bagi meningkatkan operasi dan kesihatan pengunjung Klinik Kesihatan (KK) Senawang.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi hantaran di Facebook berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM588,400 disalurkan kepada klinik kesihatan, manakala RM217,300 lagi diperuntukkan kepada klinik pergigian.


Peruntukan tersebut jelasnya bagi membiayai pelbagai kerja pembaikan, naik taraf dan perolehan aset perubatan serta bukan perubatan.


"Antara penelitian utama di bawah peruntukan ini termasuk pelaksanaan kerja menaik taraf bangunan klinik pergigian bagi menjamin keselesaan optimum pengunjung.


"Selain itu, kelulusan ini turut merangkumi perolehan mesin ultrasound baharu bagi meningkatkan kecekapan diagnostik dan penambahan dua kenderaan baharu bagi melancarkan mobiliti logistik petugas kesihatan ke lapangan," katanya.


Dr Dzulkefly sementara itu menjelaskan, fasiliti itu menggalas tanggungjawab besar sebagai nadi kesihatan primer, yang menyantuni lebih 220,000 penduduk sekitar dengan purata 1,000 kehadiran pesakit setiap hari.


Justeru, beliau berharap suntikan dana tersebut bukan sahaja mampu memberi nafas baharu kepada operasi kemudahan itu, malah dapat menjamin kelestarian perkhidmatan perubatan yang lebih efisien, saksama, dan selesa buat komuniti.


Sementara itu dalam hantaran lain, Dr Dzulkefly turut memaklumkan kelulusan peruntukan segera berjumlah RM555,000 Klinik Kesihatan (KK) Lenggeng.


Peruntukan itu meliputi RM325,000 khusus untuk Klinik Kesihatan dan RM230,000 untuk Klinik Pergigian.


Beliau turut mengumumkan peruntukan RM2.25 juga bagi penyediaan kemudahan mesin X-Ray baharu berserta kerja-kerja ubah suai dan naik taraf bilik X-Ray di kemudahan kesihatan tersebut.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page