
Seramai 21,438 ahli baharu yang menyertai KEADILAN dalam tempoh enam bulan iaitu dari 1 Januari hingga 30 Jun, sekali gus menunjukkan bahawa parti berbilang kaum ini tetap mendapat sokongan rakyat meskipun berdepan dengan krisis politik.
Malah, Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Rodziah Ismail berkata hampir separuh dari bilangan keahlian baharu itu terdiri daripada wanita.
"Kekuatan wanita dalam sebuah perjuangan parti tidak lagi menjadi persoalan. Penglibatan serta suara wanita amat diraikan apabila ramai pemimpin ahli parlimen terdiri daripada kalangan wanita.
"Sekarang juga bukan masanya berbincang soal kuasa, jawatan hatta kelayakan wanita, sebaliknya ini masa kita mencari jalan terbaik mempertahankan kebajikan rakyat dan menegakkan keadilan wanita," katanya ketika Regenerasi Masa Depan Wanita KEADILAN baru-baru ini.
Pada masa sama, Rodziah menganggap tindakan beberapa pemimpin dan ahli yang mengkhianati KEADILAN bukanlah penamat kepada perjuangan sesebuah parti.
"Patah tumbuh hilang berganti dan meskipun melalui saat sukar namun KEADILAN masih banyak menerima keahlian banyak potensi yang boleh digilap.
"Ini boleh dibuktikan apabila dalam tempoh hanya enam bulan, kita telah pun dianggotai seramai 21,438 orang.
"Sebab itu Regenerasi masa depan wanita diadakan sebagai simbol bahawa kita tetap berpegang kepada idealisme, prinsip dan ketelusan, ini menjadi pilihan wadah perjuangan kita," katanya.
Rodziah juga menegaskan, KEADILAN mampu menghadapi sebarang tekanan dan tidak akan mengalah begitu sahaja.
"Ketika ini, KEADILAN berdepan dengan tohmanan politik dan isu peralihan kuasa.
"Namun kita harus menumpukan semangat tekad untuk melunaskan agenda reformasi demi mengangkat KEADILAN.
"Perjuangan ini bukan mudah tapi sejarah kewujudan parti membuktikan bahawa kita mampu berdepan dengan kekangan ini.
"Ini bukan masa untuk berehat, keutamaan kita adalah melunaskan mandat yang diberikan rakyat," katanya.