Langkah progresif KPM tingkat keselamatan pelajar terbaik - Wanita KEADILAN Selangor
- Suara Keadilan

- Oct 23, 2025
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Wanita KEADILAN Selangor menyambut baik langkah-langkah tambahan yang diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memperkukuh keselamatan dan disiplin di institusi pendidikan seluruh negara.
Dalam satu kenyataan hari ini, sayap wanita itu menegaskan, langkah bersepadu yang diumumkan mencerminkan keprihatinan dan kesungguhan Kerajaan MADANI memastikan sekolah kekal menjadi tempat yang selamat, sejahtera dan berdaya mendidik.
Antara inisiatif diumumkan termasuk peruntukan tambahan bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), penempatan guru baharu, lantikan pembantu warden asrama sepenuh masa, penubuhan Jawatankuasa Pemuafakatan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), pembentukan Smart Support Team, pelaksanaan Polisi Perlindungan, serta Program Saringan Kesihatan Mental Murid.
"Langkah-langkah ini bukan sahaja reaksi terhadap insiden kebelakangan ini, tetapi juga pembaharuan sistemik yang menggabungkan aspek keselamatan fizikal, sokongan emosi dan pendidikan nilai," ujar kenyataan itu.
Wanita KEADILAN Selangor turut menyatakan sokongan terhadap usaha KPM memperkukuh Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) serta memperluas ruang suara guru dan pelajar melalui inisiatif seperti sesi dialog dan “kotak suara murid”.
"Pendekatan ini mencerminkan falsafah pendidikan MADANI yang lebih inklusif, berempati dan manusiawi — selaras dengan semangat Reformasi Pendidikan yang menekankan kesejahteraan dan tanggungjawab sosial," katanya lagi.
Pada masa sama, Wanita KEADILAN Selangor menyeru semua pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), komuniti setempat serta agensi berkaitan untuk berganding bahu bersama KPM dalam menjayakan inisiatif berkenaan.
"Keselamatan dan kesejahteraan murid adalah tanggungjawab bersama. Sekolah mesti kekal sebagai ruang aman untuk anak-anak membina masa depan mereka," tegas kenyataan itu.









Comments