
Oleh: Helmi Mohd Foad
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzli setuju agar Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) yang kini di bawah kendalian kementeriannya dirombak agar dapat berfungsi dengan lebih berkesan.
Beliau berkata pihaknya akan melihat apakah bentuk penyesuaian tugas yang dapat diselaraskan dengan dasar Kerajaan Madani selain keperluan lain yang perlu diteliti.
Mengulas kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Mohd Puad Zarkashi yang menggesa J-Kom dirombak susulan pendedahan mengenai isu 'Langkah Dubai', Fahmi berkata sebelum isu tersebut berbangkit pihaknya memang mempunyai hasrat untuk meneliti semula fungsi agensi itu.
"Oleh kerana tempoh terlalu awal untuk membuat pengumuman, kita lihat perlu ada penyesuaian beberapa tugas selaras dengan Kerajaan Madani untuk dilaksana oleh agensi termasuk J-Kom. Saya lihat ada keperluan.
"Bermaksud saya boleh setuju dengan pandangan itu," katanya dalam sidang media pasca Kabinet di Putrajaya hari ini.
Fahmi menjelaskan kenyataan mengenai 'Langkah Dubai' itu sebenarnya bermula daripada mesej di dalam kumpulan Whatsapp yang kemudian dipetik atas nama Timbalan Ketua Pengarah J-Kom, Ismail Yusop.
"Saya lihat beberapa perkara perlu diselaraskan untuk pastikan isu seperti ini tidak berulang pada masa depan," katanya sambil memaklumkan perkara itu akan diselesaikan secara dalaman.
Terdahulu laporan memetik Mohd Puad menggesa J-Kom dirombak secara menyeluruh selepas isu 'Langkah Dubai' menyebabkan kerajaan terpaksa mengambil sikap defensif.
Beliau turut mempersoalkan motif Timbalan Ketua Pengarah J-Kom menimbulkan isu berkenaan yang disifatkannya sebagai “analisis cetek”.
"Apa keperluan timbalan KP J-Kom mainkan isu Langkah Dubai? Kata premier Sarawak, cerita Langkah Dubai adalah cerita 'paloi'(bodoh)," katanya dipetik.
J-Kom sebelum ini diletak di bawah Jabatan Perdana Menteri sebelum dialih kepada Kementerian Komunikasi susulan rombakan Kabinet pada Disember lalu.
Comments