top of page

Langgar syarat tahanan rumah, Najib segera dikembalikan ke penjara

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
8 hours ago
1 min read
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam sesi perbahasan Dewan Rakyat. Foto Jabatan Penerangan
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam sesi perbahasan Dewan Rakyat. Foto Jabatan Penerangan

Bekas Perdana Menteri, Najib Razak akan segera dikembalikan ke Penjara Kajang atau mana-mana penjara yang ditentukan sekiranya melanggar syarat-syarat tahanan rumah yang ditetapkan.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu sudah diperuntukkan dengan jelas dalam syarat tahanan rumah, termasuk arahan dan tatacara pelaksanaannya.


"Dalam syarat-syarat yang kita masukkan ini, dia menyebut jika berlaku pelanggaran, maka pihak yang melanggar syarat itu akan segera dikembalikan ke Penjara Kajang atau mana-mana penjara yang ditentukan oleh Commissioner General.


"Prinsipnya adalah syarat-syarat diberikan, langgar, segera dibatalkan dan dikembalikan ke penjara," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Ramkarpal Singh a/l Karpal Singh [PH-Bukit Gelugor], mengenai pewartaan syarat tahanan rumah serta implikasi sekiranya syarat berkenaan dilanggar.


Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin turut menyatakan kesediaan membawa cadangan supaya minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan dinyahklasifikasikan untuk pertimbangan Jemaah Menteri.


Cadangan itu dikemukakan Ahli Parlimen Syed Saddiq Syed Abdul Rahman [Muda-Muar], yang mahu proses dan keputusan berkaitan Lembaga Pengampunan dapat diperjelaskan sepenuhnya kepada rakyat.


Menurut Saifuddin, cadangan berkenaan berada dalam bidang kuasa dan tanggungjawab Peguam Negara, namun beliau tidak mempunyai halangan untuk membawanya ke mesyuarat Kabinet.


"Saya fikir itu dalam bidang kuasa dan tanggungjawab Peguam Negara, tapi saya tidak ada keberatan. Esok, mesyuarat Jemaah Menteri, saya akan memberanikan diri untuk membawa bahawa ini syor daripada Parlimen, daripada Muar.


"Syornya spesifik, apakah kerajaan bersedia untuk menimbangkan untuk nyahklasifikasi minit? Itu saya fikir satu syor yang diangkat," katanya.


Beliau turut menyifatkan Parlimen sebagai sebuah dewan demokrasi yang memberi ruang kepada wakil rakyat mengemukakan pandangan dan cadangan bagi menyelesaikan isu berkepentingan awam.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page