Tindakan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) 2.0 dan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sering berdalih mengelak usul Undi Percaya di Parlimen sebagaimana dititah oleh Yang di-Pertuan Agong amat mengelirukan rakyat
Menurut pakar undang-undang Perlembagaan Dr Aziz Bari, usul Undi Percaya bukanlah sesuatu yang 'suka-suka' dibuat tetapi suatu cara untuk rakyat menilai keabsahan pentadbiran PM Ismail dan juga ketaatan beliau terhadap titah Istana Negara.
Selain itu, katanya, Undi Percaya bukan sahaja dibuat di peringkat Kerajaan Persekutuan tetapi juga di peringkat Kerajaan Negeri apabila Menteri Besar (MB) yang dilantik di pertengahan penggal pun perlu melakukannya sebelum meneruskan tugas.
"Kita tengok parti dalam kerajaan sekarang semuanya 'hero' Melayu. Namun bila kita tengok tindakan dari buka Parlimen sampai sekarang, mereka asyik mempermain-mainkan titah Agong, walaupun titah itu penting dan selaras dengan Perlembagaan.
"Di sini Agong menganjurkan sesuatu yang selaras Perlembagaan (Undi Percaya) jadi ada double order di situ, Perlembagaan pun akur dan telah dititahkan.
"Di Perak baru ini pun, Datuk Saarani Mohamad selepas dilantik sebagai MB, selepas kejatuhan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, beliau ke dewan untuk diundi percaya. Ertinya amalan ini berlaku di semua pelantikan pertengahan penggal dan Undi Percaya itu menjadi tradisi.
"Juga beberapa hari yang lepas, semua peguam menyatakan secara konsensus tidak patut Ismail Sabri tidak mahu usul percaya dikemukakan di Parlimen. Rakyat nak tengok undi itu berlaku. Saya tidak fahamlah politik apa yang mahu dibawa Ismail ini," katanya dalam forum maya Borak Dahsyat bertajuk: "Undi Percaya, Kerajaan Derhaka Lagi?", malam tadi.
Menjawab hujah mengatakan Yang di-Pertuan Agong telah jelas melihat sokongan terhadap PM Ismail sebanyak 114 kerusi dan beliau telah pun dilantik, Dr Aziz berkata, Undi Percaya bukan mengenai pelantikan tetapi keabsahan.
Malah, katanya, dalam situasi semasa apabila Agong menitahkan perlunya usul tersebut, bermakna Baginda juga bersedia sekiranya pilihan yang dibuat tidak betul, dan Ismail gagal mendapat undi secukupnya untuk kekal menjawat PM
"Saya nak sebut sebab yang banyak dispin (putar belit) bahawa kalau kita buat Undi Percaya seolah-oleh akan mempertikai kuasa Agong, Ini mengarut.
"Yang pertamanya, Agong sendri yang bertitah selepas dilantik PM hendaklah dibawa usul percaya ke dalam dewan. Agong sendiri sanggup melihat keputusan Baginda itu diadili dalam dewan. Apa yang kita sibuk dan mempertikaikan Baginda?
"Yang lebih penting kuasa budi bicara (lantik PM) itu bukan bermaksud sesuka hati, ini yang saya respect Ke Bawah Duli Tuanku. Baginda tahu itu bukan kuasa mutlak, kuasa itu dijalankan dengan cara tertentu, panggil ketua parti minta Akuan Berkanun, kemudian tanya seorang demi seorang betulkah kamu tandatangan, dalam masa sama Timbalan Agong dan kedua-duanya menitahkan usul percaya itu perlu.
"Ia untuk satu permulaan yang baik kali ini kerana mereka tidak mahu berlaku sebagaimana pentadbiran Mahiaddin sebelum ini berlaku sekali lagi.
"Di sini tak perlulah Agong bertitah 'beta tidak kisah kalau keputusan (lantik Ismail) ditolak'. Bermakna Baginda bersedia, sebab pada Baginda itu tanggungjawabnya," kata Aziz.
Bagi Ketua Pembangkang DUN Perak itu, sekiranya Ismail beranggapan sokongan terhadap beliau akan merosot menjelang usul Undi Percaya maka beliau boleh berkempen untuk memastikan sokongan cukup buat dirinya.
"Mungkin boleh berlaku, kerana daripada 114 mungkin ada yang u-turn, ada yang berkecuali. Ini yang mungkin berlaku.
"Saya rasa, di pihak Ismail boleh berkempenlah supaya 114 itu intact. PH telah memberi ketegasan kita tidak akan mempersulitkan Undi Percaya itu. Jadi PN tidak perlu bimbang.
"PH lebih berminat kepada PRU dan tidak berminat nak tumbangkan sekali lagi kerajaan sebab rakyat letih. Di sini kerajaan dari segi politik, perlu buat suatu permulaan yang baik," katanya lagi.
Comments