top of page

Kuota BUDI95 tidak akan dikurangkan, laporan media tidak tepat

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • May 13
  • 1 min read

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong menafikan sebarang pengumuman baharu berkaitan pengurangan kuota bulanan bahan api RON95 di bawah program BUDI95 seperti dilapor beberapa portal berita.


Beliau menegaskan kenyataan beliau dalam satu acara di Kuala Lumpur semalam sama sekali tidak menyentuh sebarang pengumuman baharu bagi pihak kerajaan, terutama untuk menghadkan subsidi bagi RON95 bersubsidi hanya kepada 150 liter.


"Apa yang saya jelaskan adalah BUDI95 adalah mekanisme yang baik kerana ia memberikan data menyeluruh untuk memahami corak perjalanan harian rakyat Malaysia.


"Keutamaan kerajaan dan seluruh masyarakat adalah untuk memastikan kita mempunyai bekalan petrol yang mencukupi untuk tempoh yang paling lama dan kita perlu membina konsensus untuk menyokong usaha penjimatan penggunaan petrol," katanya dalam hantaran di media sosial.


Chin Tong menerusi hantaran itu turut menyatakan rasa kesal kerana kenyataannya pada majlis itu dipetik di luar konteks hingga mencetuskan salah faham.


"Saya berharap semua pihak dapat memahami konteks penuh apa yang sebenarnya saya katakan," jelasnya.


Terdahulu, Chin Tong pada sesi 'Fireside Chat' bertajuk 'Malaysia's Response to Global Energy Crisis: Build Back Better' di 'AFFIN Market Outlook Conference: Propelling Malaysia Forward 2026' anjuran AFFIN Group mendedahkan kira-kira 80 peratus rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter petrol sebulan.


Analisis penggunaan turut menunjukkan sekitar 60 peratus rakyat menggunakan kurang daripada 150 liter sebulan, manakala separuh daripada populasi negara menggunakan kurang daripada 100 liter.


Pada acara itu beliau turut menegaskan komitmen kerajaan untuk melindungi golongan berpendapatan rendah dan pengguna motosikal yang dianggap paling terkesan sekiranya harga bahan api meningkat mendadak.


Pendekatan itu katanya penting dari sudut kestabilan sosial dan politik negara, khususnya bagi memastikan golongan rentan tidak terbeban dalam keadaan ekonomi yang mencabar.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page