Kritik berasaskan fakta, MB Sanusi tidak wajar memaki PM - Azman
- Akmal Manaf

- 47 minutes ago
- 2 min read

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terus menjadi sasaran kritikan apabila kenyataannya yang didakwa menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap keterlaluan dan bercanggah dengan prinsip politik matang yang menghormati perbezaan pandangan.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin (gambar) berkata, Sanusi sepatutnya belajar membezakan antara ketegasan dan kekasaran setelah dua penggal menjadi MB Kedah dan juga pemimpin tinggi parti yang kononnya memperjuangkan akhlak Islam.
"Jika benar mempunyai hujah, berhujahlah dengan ilmu. Jangan kerana mahu menyerang Perdana Menteri, adab dan nama Islam pula dipertaruhkan.
"Jika terus memilih untuk menjadikan penghinaan sebagai modal politik, Sanusi sebenarnya hanya berlagak seperti badut sarkas politik yang mengejar sorakan dan populariti, tetapi gagal menunjukkan kewibawaan seorang pemimpin," kata Azman sambil membidas Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu.
Dalam kenyataan sama, Azman menempelak Sanusi yang sepatutnya menunjukkan kematangan sebagai seorang Menteri Besar dengan mengutamakan hujah berasaskan fakta, bukannya memilih pendekatan serangan peribadi dan bahasa kesat dalam menangani perbezaan pandangan politik.
"Mengkritik kerajaan adalah hak dalam demokrasi, tetapi kritikan mesti berasaskan fakta, dasar dan hujah bukan caci maki yang merendahkan maruah jawatan serta mencemarkan imej agama yang dibawanya.
"Perbezaan pendirian politik adalah perkara biasa, tetapi ia bukan lesen untuk seorang pemimpin menghina dan mencaci. Lebih mengecewakan, Sanusi merupakan pemimpin kanan Pas yang membawa nama Islam.
"Persoalannya, di manakah adab dan akhlak kepimpinan Islam yang sepatutnya menjadi teladan?
"Seorang pemimpin yang berilmu dan berintelektual tinggi seharusnya berhujah dengan fakta dan kewarasan, bukannya mengejar populariti melalui kata-kata kesat," bidas Azman lagi terhadap ADUN Jeneri itu.
Pada 12 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan yang membatalkan tindakan negeri itu menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan bagi pengendali pertaruhan nombor ramalan kerana hal itu di bawah kuasa Persekutuan.
Mahkamah Persekutuan juga memerintahkan kerajaan negeri membayar kos RM50,000, selepas panel tiga hakim memutuskan kerajaan Kedah gagal memenuhi ambang yang diperlukan bagi mendapatkan kebenaran merayu.
Susulan itu Sanusi didakwa menyalahkan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya lesen perjudian di Kedah terus dibenarkan.




Comments