top of page

Krisis istana - kerajaan paling parah dalam sejarah: Mahiaddin letaklah jawatan secara terhormat


Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin digesa meletak jawatan secara terhormat berikutan krisis istana dan kerajaan yang paling parah dalam sejarah Malaysia tercetus akibat pentadbiran beliau berdegil untuk kekal berkuasa.


Bagi Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, hanya satu jalan yang boleh ditempuh oleh Mahiaddin dalam menyelamatkan citra politiknya, iaitu melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri secara baik dan rakyat akan melupakan perbuatan beliau mencabul demokrasi sejak berbulan-bulan lalu.


Andainya hal demikian tidak berlaku, menurut Shamsul, maka Mahiaddin akan dikenang sebagai pemimpin kuku besi oleh rakyat yang telah muak dengan politik 'tebal muka' beliau.


"Penentangan Tan Sri Mahiaddin serta kerajaan Perikatan Nasional (PN) secara terbuka terhadap Raja-raja Melayu khususnya Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong pada ketika ini dilihat sebagai krisis pihak kerajaan dan istana yang paling parah sejak isu Perlembagaan Raja-raja Melayu pada 1993


"PM Malaysia Tan Sri Mahiaddin yang menjawat jawatan Perdana Menteri melalui satu episod pengkhianatan tempohari masih berdegil kekal di tampuk pemerintahan walaupun jelas beliau hilang sokongan majoriti di Parlimen. Sikap angkuh, degil dan biadap beliau ini sangat bertentangan dan melanggar prinsip Perlembagaan.


"Umumnya masyarakat hairan dan mual kerana pembenturan dengan institusi DiRaja ini dilakukan oleh kerajaan PN yang tertubuh kononnya untuk memperjuangkan semangat “kerajaan dan pimpinan Melayu Islam demi menjaga hak-hak orang Melayu serta kedaulatan Raja-raja Melayu”," katanya sinis.


Selain itu, tambah Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkenaan, demokrasi dan keluhuran Perlembagaan juga perlu dikembalikan bagi mencipta kestabilan politik dalam negara


Tujuan utamanya, kata beliau, adalah untuk menyelamatkan sistem kesihatan serta pendidikan buat generasi akan datang yang caca marba dibadai pandemik Covid 19.


"Di kala tindakan yang lebih tuntas dan efektif dituntut dari Kerajaan PN untuk seluruh jentera kerajaan ditumpukan kepada program melawan Covid-19 serta membela ekonomi rakyat, malangnya kerajaan hari ini langsung tidak menghiraukan kekhuatiran dan kesengsaraan rakyat kerana terlalu asyik berpolitik dan bermesyuarat siang malam demi mengekal kuasa dan pemerintahan.


"Justeru, bagi mengakhiri segala kemelut dan kekalutan yang dicetuskan oleh kerajaan PN ini kami menuntut Tan Sri Mahiaddin meletakkan jawatan selaras dengan prinsip Perlembagaan yang dijunjung oleh setiap rakyat negara ini," katanya lagi.


Tegas Shamsul, negara Malaysia perlu diselamatkan dan sewajarnya semangat Perlembagaan dikembalikan serta dilakukan pena’kulan terhadap makna Rukunegara, “Kesetiaan kepada Raja dan Negara” dijajarkan semula dan dengan kadar segera.


Tekanan mendesak Mahiaddin berundur semakin kuat sejak beberapa hari ini apabila pimpinan Pakatan Harapan mengesahkan mereka telah menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan menolak menyokong kerajaan Perikatan Nasional.


Sebelum itu, Umno telah menghantar surat daripada Ahli-ahli Parlimen pro Presiden Zahid Hamidi yang mengesahkan menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri.


Semalam, media melaporkan Yang di-Pertuan Agong telah menghantar surat kepada Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Harun meminta pemakluman jumlah kerusi Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang di Dewan rakyat.


Untuk rekod, jumlah Ahli Parlimen yang menyokong Mahiaddin ketika ini didakwa sebanyak 105 orang berbanding jumlah keseluruhan 220.



0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page