top of page

Konvensyen Hala Tuju UMNO: Kestabilan Lebih Bernilai Daripada Ego

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jan 2
  • 3 min read

Oleh: Shahbudin Embun


ULASAN: Baru baru ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh menegaskan bahawa Pemuda UMNO akan menganjurkan konvensyen khas bagi membincang, meneliti serta membuat keputusan mengenai hala tuju parti khususnya berkaitan kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan.


Konvensyen bertajuk "Hala Tuju UMNO: Kekal Atau Keluar Daripada Kerajaan Perpaduan" itu akan berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 3 Januari ini.


Sehubungan itu, tindakan Akmal telah dinasihati oleh beberapa individu yang menganggap kenyataan serta tindakan Akmal ini seolah olah telah bertindak melampaui batasnya.


Ada yang menyatakan Akmal membuat kenyataan mengikut emosi dan nampaknya “mudah koyak” apabila ada isu yang dilihat sebagai tidak menghormati kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan hari ini.


Bawa wajah Pemuda UMNO lebih berhemah


Tidak ada salahnya Akmal hendak bersuara dan menyatakan pandangannya. Namun sepatutnya Akmal membawa wajah Pemuda yang berani tetapi berhemah. Tindakan Akmal, menambahkan persepsi bahawa Pemuda UMNO sedang dikuasai emosi dan retorik, bukannya kebijaksanaan politik. Ini merugikan usaha UMNO untuk memulihkan keyakinan rakyat, khususnya pengundi atas pagar.

Penulis - Shahbudin Embun
Penulis - Shahbudin Embun

Dan apabila pimpinan muda dilihat sering bercanggah secara terbuka dengan presiden atau keluarganya, ia membuka ruang perpecahan dalaman. Musuh politik akan menggunakan episod sebegini untuk menggambarkan UMNO sebagai parti yang gagal mengawal barisan sendiri.


Politik bukan sekadar keberanian bersuara, tetapi kebijaksanaan memilih medan dan bahasa. Jika terus begini, Akmal bukan sahaja mencalarkan imej Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO, malah berisiko menjadi liabiliti kepada UMNO dan Kerajaan Perpaduan secara keseluruhan.


Memandangkan konvensyen ini akan dianjurkan oleh Pemuda UMNO, maka terdapat kemungkinan besar, Pemuda UMNO akan bersuara lantang dan bertegas supaya UMNO keluar dari Kerajaan Perpaduan, atau setidaknya memberi kata amaran yang keras supaya UMNO jangan dihina atau diperkotak katikkan lagi.


Implikasi serius dari konvensyen


Tidak ada salahnya untuk memperjuangkan kehormatan dan memperkasakan lagi parti keramat Melayu ini. Bahkan kelantangan Akmal dalam beberapa isu sebelum ini sering mendapat perhatian ramai. Mungkin ada yang tidak setuju dan mungkin ada yang setuju dengan apa yang Akmal katakan. Itu tidak jadi masalah kerana, sekurang-kurangnya setiap lontaran dari mulut Akmal akan menjadi topik untuk dibincangkan dan mengambil iktibar daripadanya. Ini merupakan contoh kebebasan suara yang mesti diraikan.


Namun persoalan yang bakal kita hadapi ini ialah, apakah kesannya sekiranya keputusan konvensyen itu nanti memihak kepada UMNO keluar dari dari Kerajaan Perpaduan.


Sekiranya dalam konvensyen nanti Pemuda UMNO memilih untuk mendesak keluar daripada Kerajaan Perpaduan, implikasinya agak serius, namun penting difahami dan dibincangkan dengan lebih realistik.


Jika dilihat dari segi struktur parti, Pemuda UMNO hanyalah sayap parti dan bukannya pembuat keputusan muktamad. Keputusan untuk keluar kerajaan terletak pada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Presiden. Jadi, walaupun diluluskan di peringkat Pemuda, ia lebih bersifat sebagai satu tekanan politik dan simbolik, dan bukannya arahan rasmi yang perlu diikut.


Secara tidak langsung juga, keputusan ini akan meletakkan UMNO dalam posisi serba salah.


Jika MKT mengikut desakan Pemuda, maka terdapat risiko besar yang menanti seperti kerajaan akan hilang kuasa dan kepercayaan atau mungkin akan berlakunya Pilihan Raya Umum yang mengejut.


Namun sekiranya MKT mengabaikan desakan Pemuda, pastinya ia boleh mencetuskan rasa tidak puas hati di akar umbi muda dan membesarkan lagi jurang antara kepimpinan dan sayap Pemuda.


Kerjasama dengan Pas berisiko


Bagaimana pula dengan kesan kepada pihak pembangkang. Walaupun hari ini, gabungan pihak pembangkang kelihatan lebih goyah, namun tindakan Pemuda UMNO nanti boleh memberikan satu “gol sendiri” kepada pihak lawan.


Perlu diingat juga bahawa jika UMNO keluar dari Kerajaan Perpaduan, UMNO akan berdepan risiko politik yang lebih besar daripada Pakatan Harapan. Adakah dengan keluar dari Kerajaan Perpaduan, UMNO akan bekerjasama dengan Pas pula? Jika itu yang berlaku, UMNO berisiko terus ditelan dan menjadi “junior partner”.


UMNO sebenarnya masih dalam kedudukan memperkuatkan parti di akar umbi serta memperkukuhkan sokongan pengundi bandar khasnya dari golongan muda yang akan menjadi penentu dalam Pilihan Raya Umum ke 16 nanti. UMNO juga akan dilihat oleh awam sebagai sebuah parti yang tidak konsisten, seperti mementingkan kuasa berbanding dengan kastabilan negara. Ini boleh menjauhkan pengundi atas pagar serta pengundi muda yang mewakili majoriti kelak.


Jika UMNO keluar dari kerajaan hari ini, hanya kerana tekanan dalaman, emosi, atau suara lantang individu tertentu, ia adalah langkah tidak matang dan merugikan negara. Jika keluar sekalipun, mestilah dengan strategi yang jelas dan mendapat sokongan majoriti,dan bukannya sekadar mahu “menunjukkan maruah”.


Dalam politik hari ini, kestabilan lebih bernilai daripada ego, dan rakyat akan menghukum parti yang dilihat sebagai punca kekacauan.

Tulisan ini adalah pandangan penulis, bukan pendirian rasmi Suara Keadilan

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page