top of page

Kongres Ekonomi Bumiputera perlu lebih baik berbanding DEB



Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB 2024) yang akan diadakan pada 29 Februari hingga 2 Mac 2024 ini seharusnya memberi resolusi yang lebih baik berbanding Dasar Ekonomi Baharu (DEB).


Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, KEB wajar membincangkan persoalan Melayu pada alaf baharu dan peranan kaum lain membantu Melayu sebagaimana keterbukaan Perdana Menteri menjemput kaum lain dalam kongres tesebut.


"Kita ingin tahu mengapa ekonomi bukan-bumiputera boleh maju sedangkan kita tidak dengar wujudnya kongres ekonomi bukan-bumiputera.


"Kita pun tidak nampak adanya agenda ekonomi bukan-bumiputera dalam belanjawan negara. Malah tidak ada dasar affirmative seperti Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan untuk rakyat bukan-bumiputera. Malahan usahawan bukan-bumiputera sering terpaksa bersaing dengan syarikat GLC Kerajaan.


"Hal-hal seperti ini perlu dikaji oleh Kongres Ekonomi Bumiputera kali ini untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan wakil-wakil kaum bukan bumiputera dalam kongres itu nanti," katanya dalam satu kenyataan.


Bagi Hassan, KEB perlu meneliti isu yang amat sensitif tetapi perlu dibincangkan secara ilmiah dan berfakta oleh bijak pandai Melayu supaya dapat menjawab persoalan utama iaitu adakah dasar afirmatif yang dipanggil kedudukan istimewa orang Melayu dan anak pribumi Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan benar-benar telah menolong ekonomi Bumiputera atau sebaliknya telah dirampas, dimanipulasi oleh segelintir kelas berkuasa elit Bumiputera di Semenanjung dan Malaysia Timur untuk mengkayakan diri mereka sendiri, keluarga, sahabat handai dan kapitalis kroni.


"Kedua, adakah sudah sampai masanya, KEB yang bersifat inklusif menurut Perdana Menteri itu membincangkan soal pembangunan ekonomi rakyat secara tidak lagi dengan dasar berasaskan kaum, atau pembahagian belah-bagi bumiputera atau bukan-bumiputera tetapi berasaskan pembahagian kelas kehidupan rakyat dan keperluan rakyat.


"Segelintir kelas atasan yang disebut golongan T10 misalnya terdiri daripada semua kaum, baik bumiputera ataupun bukan-bumiputera. Sesetengah mereka ini golongan terlampau kaya atau ultra-rich dari golongan billioner atau maha jutawan.


"Manakala golongan bawahan B60 adalah kelas bawahan yang terdiri dari semua kaum. Jadi jika Kongres Ekonomi Bumiputera yang akan berlangsung tidak lama lagi mahu secara jujur dan bersungguh-sungguh bersikap inklusif, maka fokus Kongres Ekonomi itu nanti perlu tumpu kepada kelas B60 iaitu majoriti rakyat kita yang memerlukan sokongan dan bantuan ekonomi meliputi rakyat bumiputera dan juga bukan-bumiputera.


"Golongan rakyat rentas kaum dan agama ini perlukan pekerjaan dengan pendapatan yang tinggi. Mereka perlukan rumah untuk hidup berkeluarga. Mereka perlukan kos sara hidup yang tidak menindas. Mereka perlukan perkhidmatan kesihatan yang baik dan sistem pendidikan berkualiti untuk anak-anak mereka. Di hari tua mereka, maka mereka perlukan jaringan keselamatan kewangan untuk kehidupan bermaruah di usia emas mereka," katanya lagi.


Sehubungan itu, Hassan berharap KEB kelak akan menghasilkan dasar-dasar keadilan ekonomi untuk semua rakyat tanpa mengira bumiputera atau bukan-bumiputera dan menghasilkan keadilan sosial untuk semua.


Keadilan ekonomi dan keadilan sosial merentas kaum itu, katanya, akan mewujudkan kepercayaan dan keyakinan rakyat bahawa kerajaan sekarang yang dipanggil Kerajaan Perpaduan dan falsafah Madaninya berada di landasan yang betul mewujudkan satu Bangsa Malaysia yang bersatu padu.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page