Kongres 2026 ketengah suara veteran reformis, OKU, Orang Asal, Borneo


Penganjuran Kongres Nasional KEADILAN 2026 kali ini tampil dengan pendekatan lebih inklusif apabila menyediakan empat slot perbahasan khas untuk golongan veteran, Orang Kurang Upaya (OKU), Orang Asal serta wakil dari Borneo.
Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, langkah berkenaan mencerminkan usaha parti memperluas ruang penyertaan dalam perbahasan dengan memberi peluang kepada pelbagai segmen keanggotaan untuk menyuarakan pandangan, bukan hanya berdasarkan perwakilan negeri.
"Empat kategori ini adalah kategori tambahan di samping 14 perwakilan negeri-negeri. Empat usul daripada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) ialah ekonomi dan kestabilan politik, kesihatan, perpaduan dan usul memperkasa parti.
"Di samping itu, kita juga akan menyaksikan penyampaian Anugerah Bill Kayong di mana lima penerima telah dikenal pasti dan menerima anugerah berkenaan.
"Kita juga akan memberi anugerah kepada Cabang yang paling tinggi pendaftaran anggotanya selama satu tahun dan anugerah khas kepada Ranting yang terbanyak pendaftaran ahlinya dari Mac hingga Julai," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Kongres Nasional KEADILAN 2026 bertemakan ‘Memugar Reformasi, Membina Madani’ yang membuka tirainya hari ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Kongres tersebut menghimpunkan lebih 2,500 perwakilan dan 3,000 pemerhati serta beberapa duta asing termasuk dari Amerika Syarikat, China, Jepun dan Australia yang telah mengesahkan kehadiran selain pimpinan parti-parti politik yang lain.
Penganjuran kongres dimulai dengan perasmian serentak persidangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) dan Wanita KEADILAN oleh Timbalan Presiden parti, Nurul Izzah Anwar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden KEADILAN dijadual merasmikan kongres dan menyampaikan ucapan dasar pada esok.




Comments