top of page

KKM lulus peruntukan RM500 ribu klinik kesihatan Pos Kemar

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 5 hours ago
  • 1 min read
Dr Dzulkefly merasmikan Bot Medik 8 di Jeti Belum Rainforest Resort
Dr Dzulkefly merasmikan Bot Medik 8 di Jeti Belum Rainforest Resort

Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan peruntukan serta-merta sebanyak RM500,000 bagi menambah baik kemudahan di Klinik Kesihatan (KK) Pos Kemar di Gerik, Perak.


Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kelulusan itu bagi memperkukuh perkhidmatan kesihatan kepada penduduk Orang Asli di kawasan berkenaan dengan tumpuan kepada pembinaan Rumah Penyimpan Bot yang baharu.


Selain itu bagi perolehan aset seperti pacuan empat roda bagi menggantikan kenderaan sedia ada yang sudah uzur dan pembelian kelengkapan perubatan kritikal yang amat diperlukan bagi melancarkan proses intubasi ketika mengendalikan kes kecemasan.


"Fasiliti ini memikul tanggungjawab besar dalam menyalurkan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti Orang Asli yang amat bergantung kepadanya.


"Kemudahan sedia ada yang telah berusia lebih 11 tahun kini makin usang dan hanya mampu memuatkan sebuah bot sahaja lantas menyukarkan kerja perlindungan serta penyelenggaraan aset penting ini.


"KKM juga komited dalam menyegerakan projek pembinaan KK Kemar yang baharu agar penduduk menikmati kemudahan penjagaan kesihatan yang jauh lebih selesa, komprehensif dan moden," katanya dalam hantaran di Facebook.


Terdahulu, beliau melakukan tinjauan dan menyantuni warga kerja fasiliti kesihatan itu dalam siri lawatannya ke Hulu Perak.

Pada lawatan tersebut, Dr Dzulkefly turut merasmikan Bot Medik 8 di Jeti Belum Rainforest Resort sebagai usaha memendekkan tempoh respons kecemasan Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar yang bergantung sepenuhnya kepada laluan air sebagai perhubungan.


Bot pelbagai guna berkapasiti 12 penumpang bernilai RM350,000 itu akan melengkapi armada enam bot KKM sedia ada.


"Prinsip di bawah Malaysia MADANI amat jelas, iaitu kesihatan adalah hak saksama buat semua dan bentuk muka bumi serta geografi pedalaman yang berliku tidak akan sesekali menjadi penghalang untuk seluruh rakyat menikmati akses kepada rawatan terbaik," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page