Kisah anak muda kutip sampah cari rezeki halal wajar jadi inspirasi - Dr Zulkifli
- Redzuan Shamsudin

- 16 hours ago
- 1 min read

Kisah kegigihan seorang anak muda dari Kuantan, Pahang yang sanggup melakukan dua pekerjaan demi keluarga mendapat perhatian dan pujian ramai, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan.
Beliau berkata, kisah Wan Othman Mohd Nur Hasyim, 23, yang bertugas mengutip sampah wajar dijadikan contoh kepada masyarakat khususnya generasi muda dalam menghargai nilai kerja halal dan tanggungjawab terhadap keluarga.
Menurutnya, Wan Othman mula bekerja sejak usia 15 tahun bagi membantu keluarga serta menyara tiga adiknya yang masih bersekolah.
"Beliau bekerja sebagai pengutip sampah (syif malam) sejak umur 18 tahun, selain melakukan kerja sambilan di kedai makan pada siang hari," katanya dalam muat naik di media sosial.
Mengulas lanjut, Dr Zulkifli berkata semangat Wan Othman yang tidak memilih pekerjaan asalkan halal membuktikan kekuatan jati diri dalam menghadapi cabaran kehidupan.
Tambah Zulkifli, meskipun berdepan persepsi masyarakat serta cabaran sikap segelintir pihak yang kurang menjaga kebersihan, Wan Othman tetap cekal meneruskan pekerjaan demi mencari rezeki yang diberkati.
"Saudara Wan mendidik kita bahawa kegigihan dan kesanggupan melakukan apa sahaja pekerjaan halal demi keluarga mampu mengatasi cabaran hidup dan persepsi masyarakat," ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa nilai keberkatan dalam mencari rezeki wajib diutamakan dalam kehidupan.
"Lebih baik gaji biasa tetapi halal dan berkat, daripada hidup mewah dengan rezeki yang tidak diredai dan bercanggah dengan syarak," katanya lagi.




Comments