top of page

Ketua Hakim Negara perlu jelaskan kesahihan dokumen pelepasan Najib

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
3 hours ago
3 min read
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim

Ketua Hakim Negara, Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh digesa memberi penjelasan segera berhubung kesahihan dan ketepatan dokumen Perintah Pelepasan (Order of Discharge on Payment of Fine) membabitkan Datuk Seri Najib Razak yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 November lalu.


Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berkata, Ketua Hakim Negara juga perlu meneliti beberapa kesilapan yang didakwa terkandung dalam dokumen berkenaan termasuk penggunaan istilah undang-undang, nombor seksyen, nama akta serta bahasa yang digunakan.


Beliau yang juga seorang pengamal undang-undang mempersoalkan bagaimana dokumen sepenting itu boleh mengandungi pelbagai kesilapan sehingga menimbulkan kekeliruan mengenai pelaksanaan perintah tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri berkenaan.


"Sebelum pergi jauh, saya minta penjelasan daripada Ketua Hakim Negara adakah Order of Discharge on Payment of Fine terhadap Datuk Seri Najib Razak bertarikh 6 November 2026 yang tular di media sosial itu benar dan sahih?" katanya dalam kenyataan hari ini.


Kenyataan Hassan itu dibuat ketika Najib turut hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi prosiding permohonan yang difailkan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengkaji semula perintah pelepasan bertarikh 6 November lalu.


AGC memohon supaya mahkamah meneliti semula perintah berkenaan dan mengeluarkan perintah baharu yang selaras dengan pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lalu.


Permohonan itu susulan pembayaran denda RM50 juta oleh Najib dalam kes SRC International pada 6 November lalu yang diikuti pengeluaran perintah pelepasan oleh Mahkamah Tinggi.


Implikasi baki hukuman penjara Najib


AGC sebelum ini menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan rumah bagi mendapatkan penjelasan mengenai kesan undang-undang perintah berkenaan khususnya sama ada pelepasan itu hanya berkaitan pembayaran denda atau turut membawa implikasi terhadap baki hukuman penjara Najib.


Najib yang sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 sebelum ini diperkenankan menjalani baki hukuman kes SRC International menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Dokumen mahkamah yang tular di internet
Dokumen mahkamah yang tular di internet

Hassan berkata antara perkara yang perlu dijelaskan ialah mengapa nama mahkamah tidak ditulis dengan betul, selain nombor seksyen dan nama akta yang dikaitkan dengan kesalahan Najib turut didakwa mengandungi kesilapan.


Beliau turut mempersoalkan penggunaan istilah Discharge Order berbanding Transfer Order yang menurutnya membawa maksud berbeza iaitu perintah pelepasan dan perintah pemindahan.


Kata beliau perkara itu perlu diberikan perhatian kerana keputusan Lembaga Pengampunan yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lalu adalah membolehkan Najib menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah dan bukannya dibebaskan daripada hukuman.


"Adakah pegawai Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak memahami fakta kes iaitu Perintah Lembaga Pengampunan yang diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 18 September 2026 ialah memerintahkan Najib menjalani tahanan rumah bagi baki hukuman di bawah kes SRC International, bukannya dibebaskan?" katanya.


Selain itu, Hassan membangkitkan penggunaan bahasa Inggeris bercampur bahasa Melayu dalam dokumen berkenaan yang disifatkannya tidak profesional.


Beliau merujuk Seksyen 16 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 [Akta 91] yang menurutnya menetapkan bahawa semua pliding, afidavit, eksibit dan borang hendaklah ditulis dalam Bahasa Kebangsaan.


Hassan turut mempersoalkan ketidakseragaman penulisan nama penuh Najib dan bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dalam dokumen berkenaan yang disifatkannya sebagai satu kecuaian.


"Kenapa nampak begitu kelam-kabut dan tergesa-gesa dokumen perintah tersebut disediakan sehingga nama penuh Datuk Seri Najib dan nama penuh ayahandanya Tun Abdul Razak ditulis dengan begitu cuai, berbeza-beza dalam satu dokumen yang begitu penting?" katanya.


Sehubungan itu, beliau menyifatkan tindakan Peguam Negara menangguhkan sementara pelaksanaan perintah tahanan rumah sehingga mahkamah memberikan tafsiran dan penjelasan yang tepat hari ini sebagai langkah yang wajar.


Katanya kerajaan, Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri turut tidak boleh dipersalahkan dalam hal berkenaan.


"Memang tugas hakiki mahkamah untuk mentafsirkan undang-undang jika terdapat kekaburan dan kekeliruan.


"Dalam hal ini saya melihat Peguam Negara telah menjalankan tugas dan amanahnya dengan penuh tanggungjawab selaras dengan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan yang menjadi punca kuasa seorang Peguam Negara dilantik," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page