KESUMA bina tenaga kerja masa depan melalui PACE
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bakal melancarkan inisiatif nasional baharu menerusi Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) selaras aspirasi Malaysia MADANI meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pekerjaan berkualiti.
Menterinya Datuk Seri R Ramanan (gambar) berkata, inisiatif Pemacu Anjakan Kemahiran dan Kebolehkerjaan (PACE) itu membabitkan peruntukan keseluruhan RM100 juta dan dirangka dengan fokus kepada pembangunan bakat, latihan kemahiran, transformasi tenaga kerja serta penciptaan peluang ekonomi yang lebih inklusif kepada rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Langkah itu jelasnya bertujuan memastikan rakyat memiliki kemahiran relevan dengan keperluan industri semasa dan masa depan.
"PACE bukan sekadar program latihan biasa, sebaliknya satu pelaburan besar kerajaan untuk membina tenaga kerja masa depan yang lebih berdaya tahan, berkemahiran tinggi dan mampu memenuhi tuntutan ekonomi baharu yang semakin dipacu teknologi dan inovasi," katanya dipetik.
Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh sebelumnya mengulas pengumuman rasmi inisiatif berkenaan yang dilaksanakan dengan sokongan penuh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu jelasnya, melalui PACE, sebanyak 10 program strategik akan diperkenalkan meliputi pelbagai bidang termasuk pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), pembangunan bakat belia, transformasi ekonomi digital, pengukuhan perusahaan tempatan, pembangunan wilayah serta peningkatan kebolehpasaran pekerja gig dan komuniti inklusif.
Pendekatan program itu juga memberi penekanan kepada pelaburan bersasar bagi memastikan setiap inisiatif memberikan impak jelas dan boleh diukur kepada rakyat serta ekonomi negara.
"Kerajaan MADANI komited memastikan tiada golongan tercicir dalam arus pembangunan negara. Melalui PACE, kita mahu membuka lebih banyak peluang kepada rakyat untuk meningkatkan kemahiran, memperkukuh pendapatan dan membina masa depan lebih baik untuk diri serta keluarga mereka," katanya.




Comments