Kes tikam pelajar: Mangsa stabil terima rawatan, suspek ditahan - Fadhlina
- Helmi Mohd Foad

- Jul 6
- 2 min read

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil langkah keselamatan bagi mengawal keadaan termasuk menahan suspek kes tikaman pelajar di sebuah sekolah di Banting, Selangor pagi tadi.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata tumpuan utama pada ketika ini adalah untuk memastikan mangsa diberikan rawatan perubatan dan sistem sokongan psikososial kepada warga sekolah.
"Saya berada di tempat kejadian sebentar tadi. PDRM telah mengambil semua langkah-langkah keselamatan mengawal keadaan termasuk menangkap suspek," kata Fadhlina dalam hantaran di media sosial.
Terdahulu beliau bersama pegawai kementerian dan polis turun ke lokasi kejadian di sebuah sekolah di Banting hari ini.
Fadhlina berharap pihak pengetua dan guru serta pelajar dapat diberikan kesabaran dan kekuatan menghadapi ujian tersebut.
Beliau turut memberikan jaminan untuk memberikan maklumat terbaharu berkaitan kes itu sekiranya dibenarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
"Saya mohon orang ramai tidak menyebarkan berita palsu atau merekayasa fitnah memandangkan kes ini sedang disiasat oleh PDRM.
"Terima kasih diatas perhatian semua. Rakaman penghargaan juga buat semua agensi yang terlibat," ujarnya.
Orang ramai pagi ini digemparkan dengan kejadian seorang pelajar perempuan cedera selepas dipercayai ditikam oleh seorang wanita di sebuah sekolah di Banting.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi yang mengesahkan perkara itu berkata mangsa berada dalam keadaan stabil dengan sebarang maklumat lanjut akan dikongsikan segera.
“... keadaan mangsa stabil,” katanya dipetik laporan media tempatan.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video memaparkan kekecohan di sebuah sekolah apabila seorang wanita berpakaian serba hitam memegang sebilah pisau dan berlegar dalam kawasan sekolah berkenaan.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dalam kenyatan berkata pelajar yang tercedera dalam insiden itu sedang mendapat rawatan di hospital dan suspek telah ditahan polis.
Kata kenyataan itu, pihak JPN Selangor memberi kerjasama penuh terhadap proses siasatan dijalankan pihak berkuasa
"Tumpuan utama ketika ini memastikan murid tercedera mendapat rawatan terbaik dan bantuan diberikan kepada keluarga
"Pasukan kaunselor digerakkan untuk memberikan sokon
gan psikososial kepada murid guru dan warga sekolah," katanya.




Comments