Percubaan pembangkang menegakkan 'benang basah' dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam terus dikecam.
Terbaharu, anggota Sekretariat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) membidas kenyataan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin yang mendakwa Perdana Menteri dan kerajaan cuai dalam isu penggunaan kalimah Allah.
Syed Badli Shah Syed Osman yang menyifatkan dakwaan Hamzah itu sebagai dangkal dan lemah. Beliau berkata, sebagai mantan Menteri Dalam Negeri, Hamzah seperti tidak faham bahawa isu itu hanyalah teknikal yang “tidak menyentuh soal sensitiviti dan kesucian Islam”.
Lebih daripada itu beliau yang juga mantan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan kenyataan dibuat ketua pembangkang itu sebagai satu percubaan untuk mengelirukan rakyat.
"Adakah Hamzah sengaja menimbulkan isu ini dengan hujah yang sangat lemah supaya rakyat termakan dengan hasutan supaya membenci kerajaan?" soalnya.
Hamzah pada Khamis menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim cuai dalam kenyataannya berhubung isu rayuan penggunaan kalimah Allah apabila berkata keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melibatkan penganut Kristian Jill Ireland Lawrence Bill hanya terpakai di Sarawak.
Hamzah berkata rampasan lapan cakera padat (CD) Ireland berlaku di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang dan bukan di Sarawak, serta tiga relif certiorari, bukan hanya terhad kepada Sarawak.
Sebagai rekod, kes Jill Ireland adalah melibatkan isu rampasan cakera padat video (VCD) milik individu terbabit, bukannya berkaitan kalimah Alllah.
Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan untuk tidak meneruskan semakan kehakiman dalam kes itu kerana berlaku percanggahan arahan pentadbiran pada 1986.
Susulan itu jelasnya kerajaan akan mengkaji arahan pentadbiran yang lebih komprehensif dalam isu penggunaan kalimah Allah.
"Penjelasan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution dan pendirian kerajaan adalah jelas dan tuntas.
"Justeru itu saya ingin menasihati Hamzah supaya berhenti membuat kenyataan yang mengelirukan.
"Fokus bantu rakyat dan negara. Bukan cuba memecah belahkan perpaduan rakyat dengan hasutan yang tidak menguntungkan," katanya.
Comments