Kerjasama Malaysia-China, sasar jadi hab AI serantau
- Suara Keadilan

- Apr 11
- 2 min read

Oleh: Sandy Zaliu
Malaysia melangkah lebih jauh dalam aspirasinya untuk menjadi peneraju kecerdasan buatan (AI) di rantau ini apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerima kunjungan rasmi Gabenor Wilayah Guangxi, Lan Tianli.
Fokus utama pertemuan ini adalah untuk meneroka potensi kerjasama baharu dalam bidang teknologi digital dan ekonomi masa hadapan.
Dalam sesi pertemuan yang berlangsung di Putrajaya, PMX menyatakan komitmen Malaysia untuk menarik syarikat-syarikat AI terkemuka dari China agar menjadikan negara ini sebagai pusat operasi serantau mereka.
Usaha ini dianggap sebagai antara tonggak utama dalam memperkukuh ekosistem teknologi nasional dan melonjakkan nama Malaysia sebagai peneraju serantau dalam bidang kecerdasan buatan.
"Kita bercita-cita menjadikan Malaysia sebagai hab kepimpinan serantau dalam AI. Justeru, kita mengalu-alukan kehadiran pelabur teknologi dari China untuk menjadikan Malaysia sebagai pangkalan utama mereka," jelas PM dalam kenyataan.
Lawatan Gabenor Guangxi turut menyentuh kejayaan kerjasama sedia ada melalui inisiatif “Two Countries, Twin Parks” yang menghubungkan Taman Perindustrian Malaysia-China di Kuantan dan Taman Perindustrian China-Malaysia di Qinzhou.
Setakat ini, sebanyak RM25.68 bilion pelaburan telah diluluskan menerusi projek ini, dijangka mencipta lebih 7,500 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.
Selain itu, PM turut menzahirkan harapan terhadap ketibaan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia minggu hadapan yang dijangka memperkukuh lagi hubungan strategik kedua-dua negara.
China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia sejak 16 tahun berturut-turut, manakala Wilayah Guangxi terus memainkan peranan penting sebagai pintu masuk utama ASEAN ke China.
Langkah ini mencerminkan pendekatan kerajaan MADANI dalam membina masa depan digital yang inklusif, inovatif dan mampan.
Malaysia bukan sahaja berusaha menjadi pemain utama dalam ekonomi digital, malah bersedia untuk memimpin perubahan teknologi di peringkat serantau dan global.









Comments