Kerajaan Perpaduan tidak campurtangan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas akaun Bersatu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tohmahan pemimpin politik pembangkang bahawa wujud campurtangan tersebut adalah tidak berasas dan mengarut.
"Mesyuarat Jemaah Menteri (hari ini) mengulangi penegasan kita bahawa badan penguatkuasa dan badan kehakiman kekal bebas. Adalah tidak bertanggungwajab bagi tokoh politik pembangkang yang dalam proses siasatan membuat tohmahan campurtangan dari pihak Kerajaan Perpaduan.
"Kita tidak mengulangi sikap menekan seperti pernah dilakukan (kerajaan sebelum ini)," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri tengah hari tadi.
Menurut Anwar, siasatan tersebut dilakukan kerana terdapat laporan kepada pihak polis dan SPRM berhubung penggunaan wang oleh parti Bersatu.
"(Selain itu) saya buat kerja di Kementerian Kewangan dan melihat projek yang menelan belanja teralu tinggi tanpa proses tender.
"Kalau proses tender itu tidak dilakukan umpamanya, dan kos itu tidak melambung, itu tidak jadi isu. Kita tidak menghukum sesiapa.
"Jadi dalam projek Jana Wibawa masa PKP, projek tebatan banjir, kita dapati kos terlalu tinggi maka saya dedahkan maklumat," katanya.
Tegas beliau siasatan SRPM tidak tertakluk kepada pandangan atau pendapat beliau mengenai penggunaan wang atau ketidaktelusan tender tetapi mengikut undang undang negara.
"Mereka melakukan siasatan yang rapi, didapati dalam akaun parti RM300 juta. Tentulah harus dijelaskan.
"Harus pimpinan parti sekiranya mereka bersih sebagaimana diceritakan, dia kena jelaskan kepada badan penyiasat mengapa dalam masa singkat boleh mengumpul wang sebegitu banyak dan dari sumber mana, kepada siapa? Itu tugas SPRM dan barulah dibawa kepada Peguam Negara (sekiranya ada kes)," katanya lagi.
Semalam Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin menunding jari kepada Kerajaan Perpaduan kononnya siasatan SPRM ke atas parti itu merupakan usaha menjadikan agensi kerajaan sebagai alat untuk mencapai matlamat politik bagi membunuh kredibiliti Bersatu dan Perikatan Nasional.
Comments