Kerajaan sedia dedah RCI Tabung Haji, tunggu keputusan Kabinet


Kerajaan bersedia mendedahkan laporan akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) kepada umum dalam masa terdekat, demikian menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar).
Perdana Menteri berkata rakyat mempunyai hak untuk mengetahui hasil siasatan berkaitan dakwaan penjualan aset strategik agensi itu sebelum ini.
Bagaimanapun, jelas beliau, perkara itu perlu diteliti terlebih dahulu oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar sama ada boleh didedahkan sekarang atau memerlukan persetujuan Kabinet.
"Saya akan meneliti dengan Ketua Setiausaha Negara sama ada proses ini harus dirujuk ke Jemaah Menteri terlebih dahulu.
"Kalau tidak perlu, saya akan terbitkan hari ini. Kalau perlu, saya tunggu Rabu (depan) kerana rakyat harus tahu," kata beliau dipetik laporan media selepas melancarkan forum Humane Economy Global Discourse (HEGD) 2026 di Kuala Lumpur hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kesediaan kerajaan untuk menerbitkan laporan itu mengambil kira kedudukan Tabung Haji yang kini bertapak baik dalam proses pemulihan dan rakyat berhak untuk mengetahui kandungan laporan tersebut.
Beliau menjelaskan, Kabinet sebelum ini telah memutuskan untuk menerbitkan hasil laporan RCI tersebut namun memandangkan TH ketika itu masih dalam proses pemulihan, sebarang pendedahan daripada laporan itu dibimbangi akan meresahkan pencarum dan penyimpan tabung itu.
"Kita letak Tan Sri Rashid Hussain (Pengerusi TH) dan pasukan baharu untuk membersihkan (perkara yang tidak kena) berdasarkan pandangan dan teguran laporan suruhanjaya. Kalau kita lakukan (dedahkan) terlalu awal, mungkin menimbulkan keresahan pencarum dan penyimpan.
"Sekarang, saya rasa TH telah bertapak baik dan saya tidak ada keberatan sama sekali untuk menerbitkan atau menyebarkan, sebab laporan ini ada hak rakyat untuk mengetahui," kata beliau.
Semalam laporan media tempatan menyebut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata keputusan berhubung cadangan mendedahkan laporan akhir RCI itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri susulan terdapat kekeliruan dan dakwaan penjualan aset strategik TH oleh bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan.
RCI Tabung Haji ditubuhkan oleh kerajaan pada 2021 di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 bagi menyiasat isu tadbir urus dan pengurusan TH, khususnya melibatkan tempoh 2014 hingga 2018.
Penubuhan RCI itu telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Suruhanjaya itu menyiapkan laporan akhirnya pada Ogos 2022 dengan mengemukakan 25 syor penambahbaikan termasuk semakan Akta Tabung Haji dan pengukuhan tadbir urus institusi berkenaan.
Sementara itu, Anwar berkata Rashid dan pasukannya telah melakukan tugas cemerlang selain menguruskan TH dengan baik sekali gus menjadinya institusi yang telus dan diaudit dengan baik.
"Apabila perkara ini (laporan) dibentangkan kepada kami, kami telah memutuskan untuk menerbitkannya, tetapi kemudian kami mengambil pendekatan berhati-hati kerana ada ketikanya terdapat keperluan untuk mengubah pengurusan dan membetulkan beberapa perkara yang tidak kena.
"Dan saya fikir sudah tentunya ada berlaku pelanggaran peraturan dan saya tidak boleh mengatakan (ia) rasuah, tetapi terdapat beberapa penyalahgunaan dan kebimbangan kami pada masa itu adalah untuk menguruskan simpanan TH," kata beliau lagi.



Comments