Kerajaan perluas Budi Madani Diesel kepada peniaga kecil
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 2 min read

Pelaksanaan subsidi diesel menerusi Budi Madani Diesel (BUDI Diesel) akan diperluas kepada peniaga kecil yang memiliki kenderaan diesel jenis jip dan pikap yang didaftarkan atas nama syarikat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, jemaah Menteri sudah mempersetujui perluasan itu bagi memastikan golongan peniaga kecil turut menikmati manfaat berkenaan.
Langkah itu menurutnya, antara penambahbaikan terhadap mekanisme penyasaran subsidi selepas kerajaan meneliti maklum balas rakyat.
"Kabinet telah membuat keputusan dasar, BUDI Diesel diperluaskan kerana melihat mereka ini adalah peniaga-peniaga kecil yang perlu kita santuni.
"KPDN bersama Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pengangkutan akan memperincikan mekanisme pelaksanaan supaya keputusan dasar itu dapat dilaksanakan secepat mungkin," katanya dipetik selepas Program Turun Padang bersempena Pelaksanaan Budi Madani Diesel di Stesen Shell Presint 18, Putrajaya pada Sabtu.
Menurut Armizan, sebelum ini BUDI Diesel hanya diberikan kepada pemilik kenderaan diesel yang didaftarkan atas nama individu, manakala subsidi di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dikhususkan kepada syarikat pengangkutan awam dan pengangkutan barangan di bawah kategori tertentu.
"Apa juga strategi dan pendekatan yang kita laksanakan adalah berlandaskan tiga prinsip utama, iaitu melihat kepada faktor kos sara hidup rakyat, pengurusan risiko ketirisan serta kedudukan dan ruang fiskal negara," tambah Armizan.
Beliau sementara itu menjelaskan bahawa penerima BUDI Diesel yang memiliki kenderaan diesel jenis jip dan pikap boleh memohon tambahan kuota subsidi sebanyak 100 liter, menjadikan jumlah keseluruhan kuota kepada 300 liter.
Menurutnya, masih terdapat kekeliruan dalam kalangan orang ramai, khususnya di Sabah dan Sarawak, yang menyangka kuota subsidi bagi BUDI Madani Diesel dihadkan kepada 200 liter sahaja.
"Sebenarnya kuota asas adalah 200 liter untuk semua pemilik kenderaan diesel yang berdaftar atas nama individu. Tetapi bagi mereka yang mempunyai kenderaan jenis jip dan pikap, mereka boleh memohon tambahan 100 liter lagi, menjadikan jumlah keseluruhannya 300 liter," katanya.




Comments