Kerajaan MADANI teruskan agenda pembangunan Johor - PM
- Azuan Ab Rahman

- 5 days ago
- 1 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas mandat yang diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau berharap amanah yang diterima gabungan itu dapat digalas sebaik mungkin demi kepentingan negeri serta kesejahteraan seluruh rakyat Johor.
Menurut beliau, selepas berakhirnya proses pilihanraya dan pesta demokrasi, tumpuan kini perlu diberikan kepada usaha membina masa depan negeri dengan mengutamakan khidmat serta amanah kepada rakyat.
"Pilihan raya dan pesta demokrasi telah pun melabuhkan tirainya. Kini adalah masa untuk kita melangkah ke depan, mengutamakan khidmat dan amanah kepada rakyat serta bersama-sama membina sebuah Johor yang lebih makmur dan maju," katanya dalam kenyataan.
Menerusi kenyataan tersebut beliau turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan kekal komited untuk terus memperkukuh agenda pembangunan Johor menerusi pelbagai inisiatif demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Usaha membawa pembangunan dan manfaat kepada Johor akan diteruskan selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang mengutamakan kemakmuran, kestabilan dan kebajikan rakyat di seluruh negara.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Johor yang telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, selain mengucapkan terima kasih kepada jentera parti yang bertungkus-lumus sepanjang kempen berlangsung.
Pada masa sama, beliau menegaskan semua calon yang mewakili PH, sama ada yang berjaya memenangi kerusi atau sebaliknya diminta meneruskan khidmat kepada rakyat tanpa mengira keputusan pilihan raya.
"Tekad kami jelas, semua calon HARAPAN, tidak kira yang menang mahupun tewas, diminta untuk meneruskan khidmat membawa suara rakyat," jelasnya.




Comments