top of page

Keputusan penghakiman tiada kaitan kedudukan Islam, Mahkamah Syariah



Keputusan penghakiman Mahkamah Persekutuan pagi tadi ke atas petisyen yang difailkan oleh Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman terhadap Kerajaan Negeri Kelantan dalam menggubal atau membuat beberapa peruntukan Enakmen Kanun Syariah Jenayah (I) 2019 (‘Enakmen 2019’) sama sekali tiada kaitan dengan kedudukan Islam atau Mahkamah Syariah di Malaysia.


Menurut Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, keputusan itu hanyalah berkaitan Badan Perundangan Negeri Kelantan yang tidak mempunyai kuasa untuk membuat peruntukan-peruntukan di dalam ‘Enakmen 2019’ yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan.


"Dengan kata lain, isu di hadapan kami tidak kena mengena dengan kedudukan Islam atau Mahkamah Syariah di negara ini. Sama ada Islam atau Mahkamah Syariah dipertahankan atau sebaliknya bukan persoalan di dalam kes atau petisyen ini.


"Namun, kami ingin menjelaskan terdapat tiga jenis hukuman di bawah undang-undang Islam, iaitu (i) hudud, (ii) qisas dan (iii) takzir.


"Hukuman hudud adalah hukuman yang telah ditentukan dan ditetapkan oleh Allah. Hukuman qisas adalah hukuman yang dikenakan hukuman balas seperti nyawa dibalas dengan nyawa dan melukakan dibalas dengan melukakan. Seperti hudud, qisas juga ditentukan oleh Allah.


"Perbezaan antara hudud dan qisas ialah hukuman qisas ini hendaklah dituntut oleh mangsa atau keluarga mangsa. Diyat yang bermaksud pampasan atau gantirugi adalah merupakan sebahagian daripada hukuman qisas.


"Takzir pula adalah hukuman yang tidak ditentukan oleh Allah tetapi kadar dan bentuk hukuman ditentukan oleh kerajaan atau pemerintah dan akan dijatuhkan kepada penjenayah mengikut budibicara hakim," katanya dalam ringkasan penghakiman yang dikeluarkan hari ini.


Tegas Tengku Maimun, Mahkamah Syariah di Malaysia setakat hari ini tidak melaksanakan hukuman hudud atau qisas, sebaliknya hanya takzir.


Pada masa sama, katanya, Mahkamah sivil juga melaksanakan hukuman takzir.


Maka tidak ada bezanya antara Mahkamah Syariah dan Sivil kerana kedua-dua sistem Syariah dan Sivil melaksanakan hukuman takzir.


"Perbezaannya cuma hukuman takzir yang dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah adalah bersumberkan atau mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh pemerintah di peringkat Negeri dan diluluskan oleh Badan Perundangan Negeri manakala hukuman takzir yang dilaksanakan oleh Mahkamah Sivil adalah mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh pemerintah di peringkat Persekutuan yang diluluskan oleh Parlimen," katanya.


Tengku Maimun menegaskan hukuman takzir Mahkamah Syariah tertakluk kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).


Hukuman itu dihadkan kepada hukuman penjara tidak melebihi 3 tahun, denda tidak melebihi RM5000 dan sebat tidak melebihi 6 kali.


Beliau turut tidak bersetuju dengan pendapat apabila had bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Syariah itu dicabar situasinya sama seperti mencabar hukuman Allah.


"Jika ada pihak mencabar undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan Negeri yang dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah atas alasan Badan Perundangan Negeri itu tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang tertentu, dan jika Mahkamah Sivil membenarkan cabaran tersebut, pihak yang mencabar dan Mahkamah Sivil tidak boleh dikatakan menentang Allah, kerana undang-undang yang dicabar itu bukan yang ditentukan atau ditetapkan oleh Allah, tetapi oleh Badan Perundangan Negeri.


"Maka, melihat kepada cabaran ini, Mahkamah Syariah atau undang-undang Islam di Malaysia tidak akan pada bila-bila masa berkubur dan diletakkan batu nisan seperti didakwa oleh peguam Yusfarizal Yusof kerana Perlembagaan Persekutuan telah menjamin kuasa perundangan kepada semua Kerajaan Negeri untuk menggubal undang-undang yang dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah," katanya lagi.


Tengku maimun menegaskan apa yang dicabar dalam petisyen yang dibenarkan hari ini bukanlah kedudukan undang-undang Syariah di Malaysia.


Katanya, dakwaan-dakwaan pempetisyen adalah khusus terhadap tindakan Badan Perundangan Negeri Kelantan yang mengikut hujahan pempetisyen, telah melangkaui kuasa berkenaan jenis-jenis kesalahan yang boleh diluluskan oleh Kerajaan Negeri, dalam ruang lingkup yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.


Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan pembatalan terhadap 16 peruntukan Enakmen Kanun Syariah Jenayah (I) 2019 (‘Enakmen 2019’)


Panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 membenarkan petisyen Nik Elin Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman.


Antara peruntukan yang dianggap tidak sah adalah berkenaan pemusnahan dan mencemarkan tempat ibadat (Seksyen 11), liwat (Seksyen 14), persetubuhan dengan mayat (Seksyen 16), persetubuhan dengan bukan manusia (Seksyen 17), dan gangguan seksual (Seksyen 31).


Kesalahan jenayah syariah lain yang menjadi pertikaian dalam permohonan itu ialah memiliki dokumen palsu dan memberi maklumat palsu (Seksyen 34), mabuk (Seksyen 36), persediaan untuk melakukan maksiat (Seksyen 45), dan penyalahgunaan label halal (Seksyen 42).


Tengku Maimun merupakan ketua panel hakim. Hakim hakim lain yang terlibat ialah Abang Iskandar Abang Hashim, Mohamad Zabidin Mohd Diah, Abdul Rahman bin Sebli, Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan, Harmindar Singh Dhaliwal, Nordin Hassan dan Abu Bakar Jais


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page