Keputusan kembali kuota BUDI95 300 liter bergantung ekonomi semasa
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Sebarang keputusan bagi mengembalikan semula kuota Program Budi Madani kepada 300 liter sebulan masih bergantung kepada perkembangan semasa ekonomi negara.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, sekiranya situasi ekonomi negara kembali stabil seperti sebelum konflik Iran-AS, tidak mustahil kuota RON95 itu dikembalikan kepada status quo asal.
"Kalau keadaan kembali seperti sebelum ini, saya fikir tidak ada masalah untuk kita kembali semula kepada kedudukan status quo sebelum perang berlaku.
"Kerajaan akan melihat kepada kedudukan dan keadaan semasa sebelum membuat keputusan tuntas," katanya dipetik laporan media tempatan selepas hadir ke Majlis Penghargaan Agensi-agensi Kerajaan dan Warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Perak di Padang Rengas pada Jumaat.
Muhammad Kamil sebelumnya mengulas perkembangan terkini berkaitan usaha menamatkan perang di Asia Barat.
Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan menyambut baik perkembangan tersebut kerana ia dijangka membantu menstabilkan semula harga minyak dunia dan mengurangkan tekanan terhadap ekonomi global.
Bagaimanapun katanya, proses pemulihan tidak berlaku serta-merta kerana ia turut melibatkan kos logistik, pengangkutan dan insurans yang memerlukan masa untuk kembali ke paras normal.
"Walaupun perang dihentikan, kita masih perlu berhati-hati kerana sentiasa ada kemungkinan pihak tertentu melanggar perjanjian yang dicapai.
"Kita jangka mungkin mengambil masa antara tiga hingga enam bulan sebelum keadaan benar-benar kembali stabil," katanya.
Sementara itu, Muhammad Kamil berkata, kerajaan komited memastikan rakyat tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup sepanjang tempoh pemulihan ekonomi.
Kerajaan jelasnya akan terus berusaha mempelbagaikan sumber tenaga negara bagi mengurangkan kebergantungan kepada kawasan yang berisiko terjejas akibat konflik.




Comments