Kepolisian komuniti tangani jenayah kecil - Saifuddin
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Strategi kepolisan berorientasikan komuniti bagi menangani jenayah kecil dan jenayah harta benda di kawasan berkepadatan penduduk bakal dipertingkatkan.
Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata usaha itu bertujuan mengukuhkan kawalan sosial, mengurangkan ruang berlakunya jenayah serta meningkatkan kepercayaan antara masyarakat dengan polis.
"Yang pertama, kita tekankan penglibatan dan kerjasama komuniti, seperti KRT, Sistem Rondaan Sukarela (SRS), persatuan penduduk, badan bukan kerajaan (NGO), sekolah, pemimpin tempatan. Malah, kita ada program “Satu Masjid, Satu Polis” seperti PPS di sekolah.
"Yang kedua ialah strategi pencegahan berasaskan masalah. Masalahnya apa? Kawasan penduduk padat, misalnya ada lorong-lorong gelap. Ataupun berlaku kes dadah yang tinggi. Ataupun kes pengangguran yang tinggi. Itu semua masalah yang boleh mendorong kepada berlakunya jenayah.
"PDRM akan meningkatkan kehadiran polis atau omnipresent secara menyeluruh di kawasan berkenaan menerusi Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Unit Kereta Peronda (MPV) atau Unit Polis Pelancong," katanya dipetik di Dewan Rakyat pada Selasa.
Sementara itu beliau turut memaklumkan, seramai 1.6 juta orang awam telah berdaftar sebagai sukarelawan menerusi program Volunteer Smartphone Patrol.
"Mereka akan menjadi mata dan telinga dengan melaporkan maklumat tentang potensi berlakunya jenayah atau jenayah yang telah berlaku, sebagai pihak pertama yang menyampaikan maklumat.
"Dan ini penting. 1.6 juta orang, kalau lagi tinggi, lagi bagus. Maknanya tiada insiden jenayah akan terlepas, melainkan akan dapat dikesan oleh orang awam sendiri," tambahnya.




Comments