Kementerian Pertanian sasarkan SSR beras 80 peratus - Mohamad Sabu
- Suara Keadilan

- 16 minutes ago
- 1 min read

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan terus memperkukuh ekosistem padi dan beras negara bagi memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, tahap sara diri (SSR) beras negara perlu dipertingkat kepada sekurang-kurangnya 80 peratus dengan kadar SSR di bawah 60 peratus ketika ini belum cukup kukuh dari sudut keterjaminan makanan negara.
"Justeru usaha lebih besar perlu dilakukan bagi meningkatkan pengeluaran beras tempatan.
"Kita mahu meningkatkan produktiviti dan memperkukuh rantaian bekalan menerusi peluasan penggunaan teknologi... kita mahu menggalakkan inovasi dan membuka lebih banyak peluang penciptaan nilai kepada seluruh rantaian industri," katanya dipetik laporan media.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program di Laman Padi sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Serdang pada Ahad.
Mengulas lanjut, Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, antara usaha yang bakal digerakkan adalah dengan menggalakkan syarikat dan pihak berkemampuan membuka kawasan sawah lebih besar dengan kerjasama kerajaan negeri dalam menyediakan tanah yang bersesuaian.
Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata kementeriannya berhasrat meneroka pendekatan mengintegrasikan ternakan udang galah dalam kawasan sawah padi - pendekatan itu dilihat ketika lawatannya ke China baru-baru ini.
Menurutnya, walaupun potensi mengintegrasikan ternakan itu dengan tanaman padi masih belum diteroka secara meluas, Malaysia mempunyai kelebihan memandangkan keadaan cuaca yang lebih sesuai untuk ternakan udang galah sepanjang tahun berbanding China.
"Dalam sawah itu ada udang galah, terdapat dua hasil, satu hasil padi, satu hasil udang….benih udang galah itu dibawa dari Malaysia dan dibiakkan di China.
"Kita perlu lebih proaktif meneroka potensi ternakan udang galah secara bersepadu dengan tanaman padi memandangkan pendekatan itu setakat ini dilaksanakan secara kecil-kecilan," tambahnya.




Comments