Kementerian Pertanian saran Kerajaan Negeri warta kawasan jelapang padi


Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyarankan supaya Kerajaan Negeri mewartakan kawasan jelapang padi di negeri masing-masing.
Menerusi satu kenyataan, kementerian itu memaklumkan langkah tersebut bagi memastikan keluasan tanah penanaman padi terus dipelihara dalam usaha meningkatkan Kadar Sara Diri (SSR) beras negara, selari dengan syor Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).
"Perkara ini dibincangkan dalam mesyuarat bersama exco pertanian negeri dipengerusikan Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu pada Khamis.
"Cadangan pewartaan itu mengambil kira penyusutan keluasan kawasan penanaman padi yang menjadi antara faktor penurunan SSR beras daripada 68 peratus pada 2018 kepada 54.3 peratus tahun lalu," kata kenyataan tersebut.
KPKM menerusi kenyataan sama turut memaklumkan, mesyuarat turut membincangkan langkah memperkukuh kawasan sumber makanan negara melalui pengezonan dalam Rancangan Struktur dan Rancangan Tempatan, selaras dengan Pelan Induk Perancangan Guna Tanah Negara.
Antara langkah dikenal pasti ialah pewartaan segera 24 kawasan agromakanan negeri membabitkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan, Taman Kekal Pengeluaran Ruminan dan Zon Industri Akuakultur.
"Langkah berkenaan turut meliputi pelaksanaan Skim Pemutihan Ladang Penternakan serta Mekanisme Perlindungan Kawasan Makanan di Sabah dan Sarawak.
"Ini bagi menyokong usaha KPKM meningkatkan SSR bagi komoditi strategik, sekali gus meningkatkan pengeluaran tempatan serta memperkukuh daya tahan dan keterjaminan makanan negara," katanya lagi.
Dalam aspek kawal selia pula, mesyuarat mengambil maklum penggubalan Rang Undang-Undang Baja bagi mewujudkan kerangka kawal selia industri yang lebih tersusun, telus dan berkesan, termasuk berkaitan kualiti, pengedaran, kestabilan harga baja serta kepentingan petani.




Comments