Kerajan Perikatan Nasional (PN) bertanggungjawab sepenuhnya menghancurkan rekod pencapaian cemerlang pemulihan kebebasan media di Malaysia pada era pemerintahan Pakatan Harapan (PH).
Menurut Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kemerosotan kedudukan negara sehingga 18 anak tangga ke kedudukan 119 daripada 180 negara yang ditinjau, menurut Indeks Tahunan Kebebasan Akhbar yang dijalankan oleh Reporters Without Borders’ (RSF), adalah amat memalukan.
"Kemenangan bersejarah PH pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 yang lalu telah diakui oleh RSF sebagai penanda aras aspek kebebasan media akan bertambah baik setelah rekod buruk di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional.
"Rekod dan pencapaian terbaik Malaysia ketika itu naik ke tangga 101 menurut laporan RSF dalam tahun 2020, kesan dari agenda reformasi selama 2 tahun.
"Kembalinya pemerintahan kuku besi bersama pendakwaan serta pelanggaran hukum dan etika kewartawanan menjadi antara sikap kerajaan PN yang mencemari (dan menekan) reputasi kebebasan media di negara ini," katanya dalam kenyataan media.
Bagi Ahli Parlimen Port Dickson itu, kewujudan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) telah menambah buruk prestasi kebebasan media negara.
J-KOM katanya, menjadi alat propaganda tersusun kerajaan menghitamkan imej parti-parti pembangkang yang musuh politik PN.
"RSF menyebut bahawa J-KOM hanya bertindak sebagai lidah propaganda kerajaan. Juga Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terus menjadi senjata ampuh kerajaan untuk membungkam wartawan dan menjadi batu penghalang dalam menghidup serta menyemarakkan kebebasan media.
"Terkini, langkah dan tindakan agresif kerajaan yang berpangkal dari Pengisytiharan Darurat pada Januari 2021 nampaknya akan terus memburukkan rekod kita pada tahun 2021.
"Situasi ini sangat membingungkan, tatkala kita tahu bahawa fungsi Darurat adalah untuk meningkat keupayaan negara dalam melawan penularan Covid-19. Namun, nampaknya ia tidak membantu malah gagal dalam mengurus dan mengemudi (situasi pandemik)," katanya.
Justeru, Pengerusi PH itu memberi amaran bahawa aspek kebebasan dan media yang terbuka adalah ciri penting pada mana-mana sistem demokrasi.
Katanya, perlecehan terhadap aspek ini tidak hanya mengukuhkan pandangan jelek terhadap kerajaan PN tetapi juga akan menekan serta menginjak mandat dan suara rakyat.
"Tindakan dan sikap sebegini hanya merosotkan prospek Malaysia di peringkat antarabangsa, malah akan memberi kesan yang buruk pada usaha kita dalam memulihkan ekonomi yang saat ini sangat parah.
"Bakal pelabur dan rakan strategik dalam pelbagai sektor perniagaan mungkin akan memilih negara lain ketimbang Malaysia," kata Anwar lagi.
Untuk rekod, prestasi kebebasan media Malaysia lebih teruk daripada Guatemala (116), Gabon (117) dan Congo-Brazzaville (118). Cuma lebih baik sedikit berbanding Nigeria (120), Nicaragua (121) dan Afghanistan (122).
تعليقات