Oleh: Helmi Mohd Foad
Skor Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2023 yang dikeluarkan Transparency International (TI) mencatatkan peningkatan kepada 50 mata berbanding 47 mata pada tahun lalu menunjukkan kerajaan berada pada landasan yang tepat untuk membanteras rasuah.
Senator Mohd Hasbie Muda berkata, pencapaian itu selaras dengan kehendak politik kerajaan ketika meletakkan kerangka Ekonomi MADANI dengan penanda aras CPI dalam tempoh 10 tahun mesti mencapai kedudukan tangga ke-25.
"Tahun lepas negara berada pada kedudukan ke-61 iaitu sebelum diumumkan Ekonomi MADANI, orang lihat kerajaan pada landasan tidak betul. Sekarang kita sudah pada kedudukan 57.
"Sebenarnya kita pernah capai angka lebih baik pada tahun 2019, kita dapat 53 mata dengan kedudukan 51 daripada 180 buah negara," katanya dalam program Bual Bicara terbitan Bernama TV pada Jumaat.
Program bertajuk "Indeks Persepsi Rasuah 2023: Malaysia Progresif? yang dihos oleh Sherkawi Jirim itu turut menampilkan Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Jais Abdul Karim sebagai ahli panel.
Presiden TI-Malaysia (TI-M) Dr Muhammad Mohan dipetik sebagai berkata penambahan mata itu meletakkan negara pada kedudukan tangga ke-57 daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga ke-61 pada CPI 2022.
Skor negara meningkat kepada tiga mata setelah jatuh enam mata dalam tempoh tiga tahun lalu sejak 2019.
Peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Peguam Negara dalam pendakwaan dua bekas Perdana Menteri merupakan antara faktor yang mendorong kepada lantunan skor CPI tersebut selain sabitan bekas Perdana Menteri dalam kes rasuah SRC International (SRC) menunjukkan kebebasan kehakiman di Malaysia.
Mohd Hasbie yang juga Ketua Pemuda AMANAH berkata pencapaian CPI tersebut boleh dianggap sederhana namun negara tidak boleh selesa pada kedudukan tersebut.
Jelas beliau indeks berkenaan dibuat berdasarkan kepada pandangan kelompok perniagaan yang mana pada mereka angka CPI menjadi asas penilaian untuk membuat pelaburan di negara ini atau sebaliknya.
"Kalau nampak makin buruk sudah tentu mereka akan memilih negara lain yang lebih telus dalam melawan rasuah. Pada ketika ini kita berasa lega kerana kedudukan ini menunjukkan kerajaan pada landasan betul dan mendapat keyakinan golongan perniagaan," katanya.
Mohd Hasbie berkata sekiranya trend tersebut berterusan dalam tempoh sembilan tahun lagi, pihaknya yakin CPI negara boleh mencapai kedudukan ke-10 teratas.
Sementara itu, Jais berpandangan fokus rakyat terhadap rakyat telah diberikan perhatian serius selain ditambah dengan pendirian Kerajaan Perpaduan.
"Pertama adalah kehendak politik, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selalu menegur tentang tata kelola dan banteras rasuah yang perlu diberi perhatian serius.
"Teguran diberikan secara terbuka perhatian diberikan kepada (melawan) rasuah.
Disember lepas pula ketika Sultan Ibrahim bercakap kepada media di Singapura, baginda jelaskan untuk pastikan Malaysia akan serius melawan rasuah (sebaik baginda dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong)," ujarnya.
Jais berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah melaksanakan tugas dengan baik tanpa rasa gentar meskipun ada kekangan.
"Jerung dan ikan bilis tidak diberi muka lagi, kita nyatakan sokongan tidak belah bahagi," tegasnya.
Jais turut meminta agar kerajaan dan rakyat tidak berada dalam 'denial mood' bahawa gejala rasuah melanda negara ini kerana ia akan memburukkan lagi keadaan.
Comments